PASIR PUTEH: Keadaan rumah mereka yang rosak dan reput di sana-sini akibat dimakan anai-anai selain tiada bumbung yang sempurna memaksa lima sekeluarga di Kampung Danan, di sini tidur di ruang tamu beramai-ramai.
Ini kerana hanya ruang tamu yang masih ‘selamat’ untuk mereka berteduh manakala ruang lain kebanyakan lantai papannya sudah patah selain dinding berlubang dan atap zink pula hilang dibadai ribut.
Berkongsi kesusahan ditanggung kepada Utusan Malaysia, Ismail Daud, 74, berkata, mereka berlima sering basah kuyup jika hujan lebat kerana sebahagian rumah itu masih berbumbungkan langit.
“Miskin kami tidak sampai perlu mengikat perut kerana ramai yang datang membantu khususnya pemimpin setempat. Kami juga terima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Apa yang kami perlukan cuma bantuan untuk baiki rumah yang semakin daif. Nak baiki sendiri tiada modal pula untuk membeli papan dan zink baharu dan kelengkapan lain,” katanya ketika ditemui di Kampung Danan, di sini semalam.
Warga emas itu tinggal di rumah tersebut bersama isterinya, Zawiah Mat Nor, 51, anak lelaki mereka, Mohd. Izzat yang berusia 14 tahun dan dua anak perempuan tiri berusia 18 dan 20 tahun.
Aktiviti harian mereka demi sesuap nasi ialah mengambil upah mencuci botol dengan kadar RM5 bagi setiap 100 biji botol yang dibersihkan.
Kata Ismail, dalam sehari mereka mendapat upah sebanyak RM20 sekiranya berjaya membersihkan 400 biji botol.
“Alhamdulillah dengan tambahan wang bantuan JKM, ia sudah cukup untuk makan minum bulanan serta menampung perbelanjaan anak yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selising.
“Rumah didiami sekarang mula mereput sejak lima tahun lalu dan biasanya saya baiki sendiri sedikit demi sedikit. Namun sekarang saya semakin hilang kudrat untuk membaiki sendiri kerana turut menghidap penyakit lelah dan semput.
“Sepanjang musim Covid-19 pendapatan kami hilang kerana permintaan mencuci botol berkurangan apabila banyak kilang memproses budu, kicap dan sos tidak lagi beroperasi,” katanya.

Pembaca yang ingin menyumbang zink, papan dan dinding boleh menghubungi Ismail menerusi talian 0199920159 atau menyalurkan sumbangan kewangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 03100-0260594150100011 atas nama Ismail Daud.-UTUSAN ONLINE