KUALA LUMPUR : Agenda Bumiputera akan terus diperkasa dan tidak akan diabaikan.
Dalam hal ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ahli keluarga yang berpendapatan rendah serta kumpulan khusus dan golongan mudah terjejas tanpa mengira kaum dan memerlukan pembelaan akan diberi perhatian.
“Hasrat Kerajaan adalah untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih adil, saksama dan inklusif selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.
“Agenda ini akan diterap dalam pelaksanaan semua dasar bagi memastikan ia menjadi komponen yang diberi keutamaan pada segenap peringkat dan aspek pembangunan. Semua pihak, termasuk pihak Kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan sektor swasta akan bersama-sama dalam menjayakan agenda ini.
Agenda ini merangkumi bumiputera, Orang Asli dan anak negeri Sabah yang mempunyai 42 etnik dan lebih 200 sub-etnik, antaranya suku kaum Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, dan Bajau.
Juga bumiputera Sarawak yang mempunyai 27 etnik, antaranya kaum Iban, Orang Ulu, Melanau dan Bidayuh di samping kaum Cina, India dan lain-lain. -UTUSAN ONLINE










