SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengarahkan syarikat kontraktor pembersihan, KDEB Waste Management Sdn Bhd di bawah seliaannya untuk membersihkan longkang atau saluran air dalam kawasan perumahan, komersial, perundistrian dan jalan utama secara berkala.
Langkah itu diambil bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berlaku lagi dalam bandar raya itu seperti yang berlaku semalam di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga; Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 dan kawasan Stadium Malawati di sini.
Menurut Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad, arahan tersebut dibuat berikutan terdapat masalah saluran air dan tidak mampu menampung limpahan air hujan sehingga menyebabkan banjir kilat di kawasan berkenaan.
“Hujan lebat yang mula turun sejak jam 4.30 petang menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Shah Alam antaranya di Seksyen 4, Seksyen 9, Seksyen 13, Seksyen 25 (Taman Sri Muda) dan Kampung Kebun Bunga telah dinaiki air.
“Semakan pihak MBSA melalui pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Negeri Selangor mendapati kadar hujan yang diterima di kawasan Shah Alam adalah 148 mm dalam tempoh 5 jam melebihi paras biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, pemantauan pengoperasian pam air dan juga kolam takungan di bawah seliaan pihak MBSA juga dilakukan secara berkala.
Katanya lagi, pada masa yang sama pihak MBSA juga telah memohon pihak JPS untuk memantau pam air dan kolam takungan di bawah kawalan pihak berkuasa saliran tersebut.
“Pasukan PANTAS MBSA yang diselia oleh anggota penguat kuasa bergegas ke lokasi untuk membantu dan memantau situasi banjir di kawasan terlibat dari segi kawalan lalulintas serta keselamatan.
“Pihak MBSA juga menyediakan tong roro di kawasan yang terjejas bagi membantu penduduk untuk membuang sampah dan barang-barang yang rosak akibat banjir kilat tersebut,” katanya.
Sementara itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan keselamatan anak-anak kecil agar tidak menghampiri longkang atau bermain di kawasan air deras.
Beliau menambah, sekiranya berlaku masalah bencana seperti banjir dan tanah runtuh di kawasan pentadbiran MBSA orang ramai boleh menelefon ke Bilik Pantas MBSA yang beroperasi 24 jam di talian terus 0355015811. -UTUSAN ONLINE










