PETALING JAYA: ‘Kuasa autonomi’ perlu diberikan kepada pihak sekolah bagi menentukan bentuk penggiliran kehadiran pelajar sama ada berdasarkan kelas atau tingkatan mahupun darjah.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia, Mohd. Azizee Hasan berkata, kaedah tersebut penting kerana ruang dan pilihan yang akan diberikan kepada pihak sekolah nanti berdasarkan komposisi murid yang berbeza dan juga kemudahan infrastruktur sedia ada.
Selain itu katanya, sesi pembukaan sekolah juga perlu dibuat dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu termasuk mengasingkan pelajar yang telah divaksin atau belum divaksin.
“Ini penting agar pengoperasian sekolah nanti dapat dikawal selia dengan baik dan meminimumkan kadar jangkitan.
“Selain itu, usaha vaksinasi pelajar tahun peperiksaan juga perlu dipercepatkan bagi mengurangkan risiko jangkitan dan menjamin eko sistem pendidikan agar lebih selamat dan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin sebelum ini berkata, sesi persekolahan secara fizikal 3 Oktober hanya akan dilaksanakan di negeri Fasa Ketiga dan Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan kapasiti kehadiran murid 50 peratus bagi setiap sesi.
Sesi persekolahan juga akan dibuka mengikut sistem penggiliran murid dalam satu kelas dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu murid Kumpulan A akan berada di sekolah pada minggu pertama manakala murid Kumpulan B akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kecuali bagi pelajar yang menghadapi peperiksaan utama.
Dalam pada itu Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata, tidak timbul sebarang isu setakat ini termasuk kemungkinan bebanan guru bertambah dengan kaedah baharu yang diumumkan Kementerian Pendidikan kelmarin.
Menurutnya kaedah tersebut sebaliknya banyak membantu para guru mengenal pasti mana-mana pelajar yang tidak memahami sesuatu topik semasa sesi PdPR berlangsung.
” Perlu diingat penggiliran tidak melibatkan pengulangan subjek atau sesuatu topik. Sebagai contoh jika minggu pertama, pelajar di kelas belajar topik A minggu berikutnya mereka akan belajar menggunakan sistem PdPR pula.
” Justeru sekiranya pelajar kurang jelas dan mendapat penjelasan semasa sesi di kelas fizikal pula,” ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Guru Malaysia Barat, Datuk Sabri Arshad berkata, penetapan SOP bagi setiap pelajar yang menggunakan pengangkutan awam atau kenderaan lain seperti bas sekolah juga perlu dirangka khusus bagi mengurangkan risiko penularan.
” Pihak Kementerian Pendidikan perlu ada SOP jika pelajar menggunakan kenderaan sekolah atau kenderaan awam kerana mereka akan sentiasa mempunyai kontak rapat dengan banyak orang.
” Malah kita tahu bagi pelajar sekolah rendah, sukar bagi mereka memahami mengenai SOP dalam kenderaan yang mereka gunakan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE