Bentang usul, jangan cakap kosong - Utusan Malaysia

Bentang usul, jangan cakap kosong

PHOONG Jin Zhe (kanan) bersama Ewon Benedick dalam satu pertemuan ringkas di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah menggesa Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan untuk membentangkan usul bagi membolehkan Sabah diberi kuasa menguruskan isu kesihatan dalam berdepan pandemik Covid-19.

Jika Timbalan Ketua Menteri itu benar-benar mahukan Sabah menguruskan pandemik Covid-19 sendiri maka, beliau harus mengemukakan usul bagi membolehkan enakmen berkaitan hal ehwal kesihatan negeri dibentuk.

Ketua Pemuda PH Sabah, Phoong Jin Zhe dan Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick membuat gesaan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka mahu Jeffrey bertindak dan bukan sekadar cakap kosong sekiranya benar-benar mahu hal berkaitan kesihatan diuruskan oleh kerajaan negeri.

“Kami pasti menyokong sekiranya beliau (Jeffrey) membentangkan usul untuk diwartakan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang. Itupun jika beliau benar-benar ikhlas mahu Sabah menguruskan hal ehwal kesihatan sendiri.

“Kami juga telah mengemukakan usul khas di bawah Peraturan Tetap 31 (2) bagi membuat enakmen baharu berkaitan pencegahan dan pengawalan penyakit, seterusnya memberi bidang kuasa yang lebih baik kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan penting dalam isu kesihatan,” katanya.

Jin Zhe selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang dan Ewon, yang juga ADUN Kadamaian ini berpendapat, sekiranya kerajaan Negeri mahu terus diperkasakan, mereka harus menuntut kuasa yang lebih banyak dalam isu-isu kesihatan terutama dalam program vaksinasi.

Langkah ini penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan Persekutuan serta membolehkan Sabah bertindak pantas bagi menangani kes harian Covid-19 yang semakin meningkat.

Menurut mereka, Sabah akan berhadapan dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang lebih teruk jika masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana ketika ini, sistem kesihatan di Sabah semakin tenat.

Semalam, Jeffrey, yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyatakan Sabah perlu menguruskan hal berkaitan kesihatan sendiri dan satu enakmen perlu dibentuk.

Langkah ini bagi membolehkan Sabah mempunyai kuasa yang diperlukan bagi menangani isu-isu kesihatan terutama semasa menguruskan pandemik Covid-19.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya