Benarkan ibu mengandung, menyusu dapat suntikan vaksin di klinik kesihatan - Utusan Malaysia

Benarkan ibu mengandung, menyusu dapat suntikan vaksin di klinik kesihatan

GAN PECK CHENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan diminta memudahkan proses pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada golongan ibu mengandung dan menyusu di klinik kesihatan ketika menjalani pemeriksaan bulanan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram, Gan Peck Cheng berkata, langkah itu akan mengurangkan beban ibu mengandung dan menyusu berbanding perlu mengunjungi Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Langkah itu juga akan dapat melancarkan proses pemberian vaksin kepada golongan berkenaan selain mereka juga akan berasa lebih yakin dengan proses berkenaan.

“Hal ini ekoran mereka mendapat khidmat nasihat daripada pihak berkuasa yang mempunyai sentuhan khusus dengan mereka iaitu jururawat di Klinik Ibu dan Bayi,” katanya ketika berbahas pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar, hari ini.

Gesaan itu dibuat ekoran terdapat laporan menyatakan terdapat 70 kes kematian ibu hamil direkodkan sejak Mac 2020 hingga 9 Ogos lalu di negara ini.

Sementara itu, Peck Cheng turut mempersoalkan tindakan pihak majikan yang menghantar pekerja warga asing mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV awam secara datang terus (walk-in).

“Fenomena pekerja asing mendapatkan vaksin bukanlah perkara baharu dan ia telah berlaku di PPV Yong Peng dan PPV Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) pada Julai dan Ogos lalu.

“Lebih menyedihkan apabila ramai warganegara termasuk warga emas mengadu masih belum menerima sebarang janji temu suntikan mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap pihak berkuasa akan dapat memantau perkara ini dengan sewajarnya agar tiada manipulasi pemberian vaksin secara datang terus (walk-in) sama ada ia melibatkan sebarang habuan apabila melibatkan pekerja asing.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN