Benar 22 cabutan judi, tindakan undur ke belakang - Nik Abduh - Utusan Malaysia

Benar 22 cabutan judi, tindakan undur ke belakang – Nik Abduh

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan kebenaran syarikat nombor ramalan melaksanakan 22 cabutan khas judi pada tahun ini adalah satu tindakan yang undur ke belakang yang pastinya ditolak oleh agama dan majoriti besar rakyat.

Beliau berkata, Pas sememangnya memandang serius perkara berkenaan sedangkan ia sudah berjaya dikurangkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini kepada hanya lapan kali setahun.

Katanya, Pas menyatakan komitmennya yang tegas untuk menghapuskan semua industri dosa dan aktiviti ekonomi gelap dalam negara yang dikatakan berjumlah ratusan bilion setahun.

“Ia nyata bukan satu jalan yang benar, bahkan mampu merosakkan ekonomi negara dan menjauhkan negara daripada memperolehi keberkatan daripada Allah.

“Justeru tindakan terdahulu kerajaan PH yang mengurangkan jumlahnya sebelum ini adalah betul dan amat wajar diberi pujian dan kredit. 

“Sewajarnya kerajaan hari ini mengekalkan keputusan tersebut, malah terus menggerakkan segala usaha yang positif dan proaktif ke arah menjauhkan rakyat daripada terus bergantung dan terjebak ke dalam aktiviti buruk tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam. 

Sebelum ini, Kerajaan, melalui Kementerian Kewangan (MoF) membenarkan pelaksanaan 22 cabutan undi khas bagi syarikat nombor ramalan yang mengundang pelbagai reaksi. 

Menurut Nik Mohamad Abduh, umum mengetahui bahawa bahaya dan kerosakan akibat aktiviti perjudian ke atas individu dan masyarakat adalah melangkaui agama dan kaum. 

Ujarnya, perkara itu hanya memerlukan  keazaman politik  daripada mana-mana parti politik dan kerajaan untuk bertindak membendungnya. 

“Saya yakin pembaharuan politik negara yang kita idamkan bersama akan turut menyokong usaha membersihkan negara daripada aktiviti tidak sihat dalam semua sektor.

“Justeru saya berharap pihak kerajaan, melalui MoF dapat menilai kembali keputusan tersebut, seterusnya menarik balik kelulusannya. Ia satu tindakan terpuji dan sifar kerugian.

“Saya yakin, dengan amanah besar yang diberikan kepada Pas oleh kerajaan hari ini untuk mengetuai Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri, Pas akan terus membantu kerajaan memandu negara ke arah kejayaan yang diberkati Allah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya