SHAH ALAM: Pemulihan bekalan air di semua lima wilayah terjejas di Lembah Klang kini berada pada tahap 52 peratus.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan, pemulihan melibatkan 463 kawasan itu direkodkan sehingga pukul 4 petang tadi.
“Kawasan terjejas di Hulu Langat sudah mencatatkan sebanyak 81.5 peratus pemulihan diikuti Sepang (56.7) dan Putrajaya sebanyak 56.5 peratus.
“Manakala, pemulihan bekalan di daerah Petaling dan Kuala Langat masing-masing sudah 36.6 peratus dan 45 peratus setakat ini,” kata kenyataan itu hari ini.
Bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air terus digerakkan kepada pengguna dan premis kritikal sepanjang gangguan tidak berjadual itu.
Orang ramai diminta mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka ketika mendapatkan bekalan tersebut.
Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.
Terdahulu, Air Selangor memaklumkan gangguan bekalan air berkenaan dijangka pulih sepenuhnya pada Jumaat ini.
Bekalan air bersih dan selamat mula disalurkan secara berperingkat di kawasan terlibat pada pukul 7 pagi tadi.
Semalam, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran bau pukul 12 tengah hari.
Namun, LRA itu mula kembali beroperasi
selepas bacaan bau tahap 0 Ton direkodkan tiga kali berturut-turut di Sungai Semenyih petang semalam.
Air Selangor bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengenalpasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitar sungai berkenaan. -UTUSAN ONLINE