SEREMBAN: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemukan ditinggalkan di atas rumput berhampiran sebuah rumah kongsi di Precint 3, Taman Ara Sendayan, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, bayi tersebut ditemukan oleh seorang lelaki yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis menerusi panggilan telefon pada pukul 11.52 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati, bayi yang ditinggalkan tanpa sebarang balutan (bogel) itu adalah perempuan dan bangsanya masih belum dikenal pasti.
“Ketika ditemukan, bayi itu masih mempunyai tali pusat dan uri disyaki baru dilahirkan kurang daripada 12 jam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Mohd. Said, tiada kesan kecederaan pada bayi tersebut sebaliknya hanya kesan gigitan serangga.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana ibu bapa atau orang yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak yang berumur kurang 12 tahun mendedahkan dan membuang kanak-kanak itu. -UTUSAN ONLINE










