Bank Rakyat sumbang RM168,000 pada usahawan terjejas banjir Yan, Kedah  - Utusan Malaysia

Bank Rakyat sumbang RM168,000 pada usahawan terjejas banjir Yan, Kedah 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Rakyat menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) tampil menyerahkan sumbangan RM168,000 kepada usahawan terjejas akibat banjir kilat yang berlaku di Yan, Kedah baru-baru ini. 

 

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen MEDAC menerusi agensi di bawahnya dalam memainkan peranan membantu usahawan yang terjejas pendapatan berikutan kerosakan premis perniagaan akibat banjir dengan menyalurkan bantuan kewangan. 

 

“Kementerian sentiasa menyokong hasrat Bank Rakyat di bawah pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) dalam melaksanakan usaha bagi berkongsi keuntungan yang diperoleh khususnya kepada golongan yang memerlukan termasuk usahawan bagi menyokong kelestarian perniagaan mereka terutamanya dalam waktu yang mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Terdahulu, Ahli Parlimen Tanjong Karang juga menyerahkan sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR) kepada lima buah sekolah terjejas banjir di sekitar kawasan tersebut dan setiap sekolah menerima wang tunai sebanyak RM5,000. 

 

Antara sekolah yang terlibat termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Yan, Sekolah Kebangsaan Langkasuka, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) York Khoon, Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam dan Maahad Tahfiz Al-Fityan Kampung Setar. 

 

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, Bank Rakyat juga menyumbang sebanyak RM40,000 kepada 200 keluarga terjejas banjir yang membolehkan setiap keluarga itu menerima wang tunai sebanyak RM200. 

 

“Kami di Bank Rakyat sentiasa mendoakan mangsa banjir di daerah ini tabah menghadapi dugaan dan semoga usaha pemulihan di kawasan yang terjejas dapat dilaksanakan sebaiknya, Insya-Allah,” katanya. 

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, pihaknya berharap agar menerusi bantuan yang disalurkan itu dapat membantu meringankan masalah aliran tunai golongan usahawan yang terkesan untuk membangunkan semula dan meneruskan aktiviti perniagaan mereka. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN