MELAKA: Perniagaan Ayam Golek Utara ditubuhkan demi kesinambungan periuk nasi para pekerja Kem Permata Resort Melaka yang terjejas dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.
Keuntungan daripada perniagaan baharu itu digunakan untuk membayar gaji pekerja berjumlah RM15,000 sebulan sepanjang tempoh PKP.
Pemiliknya, Mustafa Mansur Hasbullah, 27, berkata, memang tidak mudah untuk beralih daripada perniagaan hospitaliti kepada makanan kerana memerlukan proses pembelajaran yang berterusan selain sokongan semua pihak.
“Macam-macam kena fikir seperti lokasi, siapa serta apa pelanggan mahukan dan sebagainya. Saya ambil masa tiga bulan untuk belajar dan mahir resipi asli ayam golek dari Utara. Mujur saya dibantu tukang masak resort yang juga orang Utara.
“Pada awalnya jualan tidaklah terlalu tinggi, sekitar 50 ekor ayam golek seminggu. Mungkin kerana perniagaan masih baharu dan memerlukan sedikit masa untuk membina keyakinan orang ramai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di gerainya di pekan Alor Gajah di sini baru-baru ini.
Tambah Mustafa Mansur, selepas negara beralih ke fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), permintaan terhadap ayam goleknya mula meningkat dengan konsisten sehingga terjual 250 ekor sehari pada hujung minggu dan 150 ekor sehari pada hari biasa.
Menurutnya, permintaan Ayam Golek Utara bukan sahaja daripada penduduk sekitar Alor Gajah, malah turut melibatkan orang luar terutamanya dari Kuala Lumpur.
“Saya aktif melakukan pemasaran melalui media sosial. Selain itu, lokasi tapak niaga yang strategik kerana berhampiran taman perumahan dan bangunan pejabat turut memacu jualan harian.
“Justeru, saya memperkenalkan menu baharu iaitu set nasi ayam golek bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan. Saya dapati jualan ayam golek meningkat seiring dengan permintaan set nasi,” ujarnya yang dibantu tujuh orang pekerja.
Penghantaran ke rumah turut disediakan susulan mendapat permintaan tinggi pelanggan sekitar Masjid Tanah, Kuala Sungai Baru, Cheng, Durian Tunggal, Tanjung Minyak dan Melaka Pindah.
Tambah Mustafa Mansur, dia juga menerima tempahan daripada agensi kerajaan, swasta, sekolah dan individu.
“Saya mahu memperbesar tapak niaga sedia ada dengan membina struktur kekal. Pelan kedai telah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula tidak lama lagi.
“Tahun ini juga saya akan membuka sebuah gerai baharu di Masjid Tanah bagi memenuhi permintaan pelanggan di sana,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE