PETALING JAYA: Kumpulan pelajar yang menolak vaksin harus diasingkan supaya mereka tidak merisikokan pelajar lain serta guru-guru yang akan menyebabkan kemunculan kluster baharu tidak diingini.
Bercakap dengan Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia (KGMM), Datuk Sabri Arshad berkata, guru-guru yang menjadi ‘tulang belakang’ dan penentu keberkesanan pembelajaran di sekolah juga perlu dilindungi supaya sistem pendidikan tidak terjejas ekoran wabak itu.
“Sudah tentu apabila terdapat pelajar menolak vaksin, mereka ini terdedah malah lebih mudah dijangkiti Covid-19, bahkan ia akan meletakkan semua warga sekolah tersebut dalam situasi yang berisiko.
“Justeru, pelajar yang menolak vaksin mesti diasingkan dan tidak boleh duduk sekali dalam satu kelas. Tindakan menolak vaksin ini akan merisikokan banyak pihak.
“Saya berpendapat, pihak pentadbiran sekolah perlu mengenal pasti pelajar yang enggan mengambil vaksin, asingkan serta beri mereka kaunseling. Bagaimanapun tindakan ini perlu mendapat persetujuan dan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terlebih dahulu.
“Mesti ada jawatankuasa khas yang diwujudkan pihak Kementerian Kesihatan untuk mendampingi pelajar-pelajar itu kerana mereka mungkin tidak mempunyai pengetahuan dan penjelasan jelas tentang vaksin,” katanya ketika dihubungi semalam.
Baru-baru ini, dua remaja lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan membuat laporan polis bagi menyatakan hak mereka untuk menolak suntikan vaksin yang akan dilaksanakan kerajaan terhadap pelajar.
Pelajar, Azrell Omar Azri Iskandar, 17, membuat laporan itu bersama adiknya, Nur Azreen Omar Azri Iskandar, 12, dan rakannya Muhammad Hanif Haikal Jeffery, 17, di Balai Polis Taman Melawati.
Azrell Omar berkata, dia membuat keputusan untuk membuat laporan polis kerana tidak mahu mengambil vaksin atas alasan bimbang sekiranya berlaku perkara tidak diingini terhadap dirinya.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan pula berkata, sewajarnya para pelajar yang menolak vaksin harus diasingkan kerana hak orang ramai mengatasi hak individu dan dari segi syariah juga perlu menjaga kesejahteraan dan nyawa ummah.
Katanya, memang mudah untuk kata tolak vaksin kerana pertahankan hak tetapi golongan yang menerima vaksin sebagai satu ikhtiar melawan wabak Covid-19 juga penting.
“Dalam hal ini, tidak timbul soal hak individu kerana kita harus akur dengan hak orang ramai yang mahukan situasi yang selamat dan bebas wabak Covid-19. Mungkin pelajar-pelajar tersebut telah diberikan salah tafsiran perihal isu vaksin,” katanya.
Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan pula mencadangkan supaya pelajar berkenaan diberi kaunseling serta diterangkan dengan baik mengenai vaksin.
“Memang kerajaan ataupun Kementerian Pendidikan menggesa pelajar mengambil vaksin bertujuan menjaga keselamatan dan kesihatan komuniti sekolah apabila sekolah dibuka semula nanti.
“Kita harus tahu kenapa pelajar tersebut tolak vaksin. Sekiranya mereka terpengaruh dengan kenyataan-kenyataan antivaksin, maka mereka ini perlu dikaunselingkan bagi memastikan mereka tahu dan memahami kepentingan vaksin kepada diri mereka dan masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










