BUTTERWORTH: Penduduk di sekitar daerah ini hari ini dikejutkan dengan bunyi daripada dua siren amaran kecemasan dari menara pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Seberang Perai Utara.
Bagaimanapun, bunyi siren dalam tempoh kira-kira lima minit itu hanyalah ujian dan bagi tujuan penyelenggaraan yang dilakukan APM Zon Utara.
Siren nada panjang dan berterusan yang dibunyikan adalah bertujuan amaran supaya orang ramai keluar segera dari bangunan atau memberhentikan kenderaan dan berkumpul di tempat sepatutnya.
Sementara itu, siren nada beralun dan berterusan pula menandakan orang ramai perlu masuk segera ke dalam bangunan, struktur yang kukuh dan terlindung atau kawasan tinggi.
Pegawai koordinator Sistem Amaran Awam (PWS), Kolonel (PA) Sharudin Md. Zain berkata, ujian berkenaan adalah sebahagian misi menyelenggara dan mengaktifkan siren-siren amaran awam di kawasan zon Utara.
Menurut beliau, ujian tersebut mendapati siren terbabit berfungsi dengan baik meskipun sudah digunakan APM daerah SPU sejak 1968.
“Siren itu masih boleh didengari dari jarak maksimum iaitu radius lima kilometer dan dipantau anggota APM di zon-zon yang ditentukan untuk mengukur sejauh mana kesan bunyi dapat didengari dan dicapai,” katanya kepada pemberita ketika memantau ujian berkenaan hari ini.
Sementara itu beliau berkata, sistem siren itu tidak hanya berperanan memberi amaran melibatkan bencana alam, malah difungsikan untuk keselamatan seperti serangan udara, ketenteraman awam dan keselamatan.
“Kita juga sedang bangunkan siren elektronik (yang terkini) dan mengusahakan untuk mengkolaborasikan sistem elektrik dan elektronik dengan peranti khusus,” katanya.
Tambah beliau, APM turut mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengintegrasikan sistem tersebut dengan agensi-agensi lain bagi mengoptimumkan fungsi amaran kepada orang awam. – UTUSAN ONLINE