Annuar yakin negara bakal ada menteri usia 18 tahun - Utusan Malaysia

Annuar yakin negara bakal ada menteri usia 18 tahun

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa meluahkan rasa optimis bahawa suatu masa nanti negara bakal mempunyai menteri yang berusia 18 tahun.

Keyakinan itu ujarnya bersandarkan pengalaman beliau sendiri dalam politik menyaksikan kematangan ramai pemimpin belia tempatan ketika ini berbanding tempoh 40 tahun dahulu.

“Sekarang pun, sudah ada contoh wakil rakyat muda boleh dilantik jadi menteri ketika usia 20-an dan ini bukan perkara baharu atau mustahil dalam arena siasah tanah air,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian secara spontan ketika ditanya dalam sesi Twitter Spaces Bersama Annuar yang julung kali diadakan menerusi akaun sosial Twitter BernamaDotCom.

Program baharu tersebut yang membawa tajuk ‘Keluarga Malaysia… Mencari Persamaan?’ dihoskan oleh penyampai stesen Radio Bernama, Wan Syahrina Wan Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Annuar merujuk dirinya menyertai politik ketika usia awal 20-an sebelum menang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peringat di Kelantan pada 1986 lalu.

“Dahulu, urusan kenegaraan dirasakan hanya sesuai untuk belia matang berumur 21 tahun dan sebab itu kerajaan menetapkan had minimum boleh jadi pengundi pada usia berkenaan.

“Bagaimanapun, zaman sudah berubah dan setelah 64 tahun merdeka, tahap kematangan berpolitik rakyat jauh beza dan siapa tahu, selepas ini ada menteri umur 18 tahun,” katanya.

Tanpa menyebut nama secara langsung, beliau merujuk usia seorang menteri era kerajaan sebelum ini iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berusia 25 tahun, termuda dalam sejarah.

Ahli Parlimen Muar dari Johor itu memecahkan rekod yang lama dipegang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak apabila pernah dilantik sebagai Menteri Besar Pahang dalam umur 28 tahun.

Meskipun mungkin akan dianggap sebagai masih mentah berpolitik, Annuar dalam nada yakin berkata, Undi18 membawa dimensi baharu negara bakal diterajui anak muda yang berbakat.

Beliau pada masa sama, menyambut baik usaha dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya dalam pendaftaran automatik pengundi termasuk 1.2 juta yang berusia 18 tahun sehingga 21 tahun.

“Kerajaan pada dasarnya sudah bersedia ke arah Undi18 dan giat melaksanakan mekanisme bagi membolehkan golongan remaja menjadi pemilih dan dipilih jadi wakil rakyat,” tambahnya.

Langkah itu juga selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang menjadi polisi teras Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melibatkan semua lapisan rakyat secara inklusif. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.