Akta sekat agama sukarkan perpaduan rakyat - Utusan Malaysia

Akta sekat agama sukarkan perpaduan rakyat

SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggubalan 11 Rang Undang-Undang syariah baharu termasuk Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama Bukan Islam Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) harus diteliti dari pelbagai sudut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, hal itu kerana Malaysia dibentuk daripada elemen kepelbagaian agama dan bangsa serta penggubalan RUU itu berisiko mencetuskan konflik agama antara kaum.

Justeru, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu menolak hasrat kerajaan dicetuskan oleh Pas yang memperkenalkan undang-undang syariah tersebut kerana berpegang prinsip kebebasan beragama selaras dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia (1963).

“Saya faham undang-undang ini masih di bawah bidang kuasa negeri dan kerajaan ingin menggubalnya di Wilayah Persekutuan.

“Pembinaan negara jangan berdasarkan agama dan bangsa kerana ini yang boleh mengundang kepada kesukaran untuk menyatupadukan masyarakat yang berbilang bangsa.

“Apapun, ia harus selari dengan peruntukan Perlembagaan dan MA63. Dalam agama tiada paksaan dan ia berlandaskan keredaan. Usahlah kita tekankan tentang isu ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

7 September lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama Islam), Ahmad Marzuk Shaary dari Pas akan memperkenalkan 11 RUU syariah baharu termasuk akta sekatan agama bagi memperkasa undang-undang syariah di Malaysia khususnya di Wilayah Persekutuan.

Pun begitu, hasrat itu mendapat tentangan hebat daripada Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang mendakwa penggubalan undang-undang itu menyebabkan kegelisahan besar dalam kalangan penganut bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad pula mempertahankan penggubalan undang-undang syariah itu kerana ia hanya digunakan di Wilayah Persekutuan.

Kebanyakan negeri di seluruh negara mempunyai undang-undang sama di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam kecuali Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang masih tidak terikat dengan undang-undang berkenaan.

Hak kebebasan beragama termaktub di dalam Memorandum 20 Perkara MA63 bahawa tiada bantahan berkenaan Islam menjadi agama rasmi Malaysia tetapi, tiada agama rasmi negeri harus diperuntukkan untuk Borneo Utara (Sabah) dan peruntukan berkaitan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu tidak seharusnya terpakai di Borneo Utara.

Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya namun tertakluk kepada fasal 4 iaitu ndang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang Islam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×