PORT DICKSON: Dua lelaki dipercayai ah long yang membuat ugutan terhadap seorang pemilik bengkel selepas didakwa gagal membayar semula wang pinjaman berjumlah RM130,000 ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 30 dan 38 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson lebih kurang pukul 10.30 pagi hingga 3.30 petang di sekitar Seremban dan Lukut di sini.
“Tangkapan ke atas kedua-dua suspek itu dilakukan susulan laporan polis oleh seorang pemilik bengkel yang mendakwa kereta miliknya yang diparkir di hadapan rumah dibaling cat merah di bahagian bumbung dan cermin hadapan akhir bulan lalu.
“Mangsa menyatakan ada membuat pinjaman daripada lima orang pemberi pinjaman wang (ah long) secara panggilan telefon untuk tujuan perniagaan bengkel miliknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Aidi Sham, mangsa telah membuat pinjaman keseluruhan berjumlah RM130,000 dan menurutnya kesemua pinjaman tersebut masih belum dijelaskan sepenuhnya.
Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,700, dua keping kad bank mesin pengeluaran automatik (ATM), dua telefon bimbit dan satu beg silang.
“Kedua-dua suspek yang ditahan telah ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 10 September depan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) atas kesalahan pemberian pinjaman wang tanpa lesen dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu membuat ugutan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










