5 bekas pengarah bukan eksekutif FGV boleh kemuka tuntutan balas - Utusan Malaysia

5 bekas pengarah bukan eksekutif FGV boleh kemuka tuntutan balas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lima bekas pengarah bukan eksekutif FGV Holdings Berhad (FGV) boleh mengemukakan tuntutan balas terhadap saman yang difailkan oleh syarikat itu ke atas mereka berhubung dakwaan kerugian dialami dalam pengambilalihan Asia Plantation Ltd. (APL) pada 2014.

Mereka ialah Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Datuk Nozirah Bahari dan Datuk Fazlur Rahman Ebrahim.

Perkara itu ditentukan secara sebulat suara oleh Mahkamah Rayuan hari ini selepas membenarkan rayuan kelima-limanya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan tuntutan balas tersebut.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Supang Lian dan Datuk Ghazali Cha berpuas hati bahawa isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan fakta dan klausa yang serius yang perlu didengar dan diputuskan melalui perbicaraan.

Mahkamah berpuas hati, tuntutan balas itu memerlukan keterangan `viva voce’ dikemukakan di mahkamah menjadikannya tidak sesuai dibatalkan pada peringkat ini.

Pada prosiding hari ini, peguam Fahda Nur Ahmad Kamar mewakili kelima-lima perayu manakala Andrew Chiew Ean Vooi mewakili FGV dan 10 yang lain.

Kelima-limanya merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 November 2019 yang membatalkan tuntutan balas mereka selepas membenarkan permohonan FGV dan 10 lain.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar selepas mendapati tuntutan balas yang difailkan lima bekas pengarah FGV itu adalah tidak berasas.

Kelima-lima individu berkenaan sebelum ini disaman oleh FGV yang menuntut RM514 juta berhubung dakwaan kerugian yang timbul daripada pengambilalihan atau secara alternatif, ganti rugi atau kehilangan daripada pengambilalihan APL.

Mereka kemudian memfailkan tuntutan balas menamakan syarikat terbabit dan 10 yang lain terdiri daripada pengerusi, pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif FGV selaku defendan.

Sepuluh individu itu ialah Datuk Azhar Abdul Hamid, Mohd. Hassan Ahmad, Datuk Dr. Othman Omar, Dr. Mohamed Nazeeb P Alithambi, Datuk Dr. Salmiah Ahmad, Datin Hoi Lai Peng, Datuk Yusli Mohamed Yusoff, Dr. Nesadurai Kalanithi, Datuk Mohd. Anwar Yahya dan Datuk Mohamed Suffian Awang.

Pada 23 November 2018, FGV memfailkan saman menuntut RM514 juta dan ganti rugi lain terhadap bekas Presiden dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah dan 13 yang lain berhubung pemerolehan APL pada 2014.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, individu lain yang dinamakan sebagai defendan ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad iaitu Pengerusi FGV pada masa itu; bekas Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; bekas Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Kluster Hiliran, Farisan Mokhtar dan dan bekas Pengurus Besar Kanan Kluster Hiliran, Rasydan Alias Mohamed.

Sembilan yang lain ialah bekas Pengarah Bukan Eksekutif FGV, iaitu Ismee, Wan Abdul Aziz, Sulaiman, Datuk Omar Salim, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Datuk Yahaya Abd Jabar, Datuk Faizoull Ahmad, Nozirah dan Fazlur Rahman.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya