48 penduduk Kuala Selangor dipindah akibat banjir - Utusan Malaysia

48 penduduk Kuala Selangor dipindah akibat banjir

ANGGOTA APM menjalankan pemantauan di Kampung Rantau Panjang, Kuala Selangor, yang dilandar banjir hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Hujan lebat berterusan lebih sejam tengah hari tadi mengakibatkan seramai 48 penduduk Kampung Rantau Panjang di sini, terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir.

Semua mangsa terdiri daripada 16 keluarga itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang bermula pukul 12.55 tengah hari tadi.

Pemangku Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, pemindahan itu dilakukan selepas rumah penduduk dinaiki air setinggi satu meter atau paras pinggang akibat hujan sejak malam tadi.

“Semua mangsa terdiri daripada 29 lelaki dan wanita dewasa serta enam warga emas.

“Selain itu, mereka melibatkan 11 kanak-kanak, seorang bayi lelaki dan wanita Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas beliau yang juga Seketariat Pengurusan Bencana daerah, operasi pemindahan itu disertai Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tambah Maizura, keadaan masih terkawal dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

“Pemantauan masih dijalankan bagi memastikan paras air di kawasan itu surut sepenuhnya.

“Penutupan PPS itu akan dibuat selepas meneliti keseluruhan faktor keselamatan penduduk tersebut,” katanya.

 Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh memudaratkan diri, keluarga dan orang awam.

 Mereka yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian seumpama itu diminta segera menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Selangor di talian 03-32896225.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya