43 peratus Orang Asli lengkap vaksin - Utusan Malaysia

43 peratus Orang Asli lengkap vaksin

SAPIAH Mohd. Nor (berdiri, dua kiri) membantu menenangkan individu Orang Asli sindrom down yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kampung Orang Asli Simpang Arang, Iskandar Puteri, di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Seramai 74,096 daripada 144,180 individu atau 43 peratus dalam kalangan masyarakat Orang Asli di seluruh negara yang layak menerima vaksin telah lengkap vaksinasi Covid-19 mereka setakat semalam.

 

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (Jakoa), Sapiah Mohd. Nor berkata, bagaimanapun, proses pemberian suntikan vaksinasi kepada masyarakat Orang Asli sedang giat dijalankan serentak di seluruh negara.

 

Katanya, pemberian vaksin kepada Orang Asli meliputi suntikan dua dos seperti Pfizer dan juga suntikan satu dos iaitu CanSino.

 

“Program pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada masyarakat Orang Asli masih terus berjalan dan jika diambil kira pelaksanaannya hari ini, saya yakin kita boleh mencapai jumlah lebih 50 peratus yang telah divaksin.

 

“Inisiatif ini dapat digerakkan dengan lebih pantas memandangkan pemberian vaksin jenis CanSino melibatkan satu dos sahaja.

 

“Kita memilih vaksin ini untuk diberikan kepada masyarakat Orang Asli bagi memudahkan prosesnya memandangkan majoriti perkampungan mereka terletak jauh di pedalaman dan sukar diakses,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke Kampung Orang Asli Simpang Arang, di sini hari ini.

 

Sementara itu, katanya, pihaknya tidak berdepan masalah besar berhubung pelaksanaan program suntikan vaksinasi ekoran isu golongan anti-vaksin tidak terlalu besar dalam kalangan masyarakat berkenaan.

 

“Tidak dinafikan memang ada segelintir Orang Asli yang tidak mahu divaksin, tetapi itu bukan disebabkan mereka merupakan individu antivaksin.

 

“Sebaliknya mereka menolak kerana tidak mendapat pendedahan dan maklumat lengkap berkaitan vaksin berkenaan, selain mengambil pendekatan tunggu dan lihat,” ujarnya.

 

Sapiah turut memberitahu, Johor merupakan antara negeri dengan kadar vaksinasi terendah melibatkan masyarakat Orang Asli di mana sehingga semalam, seramai 4,638 atau 39 peratus daripada keseluruhan 11,884 Orang Asli yang telah menerima vaksin lengkap.

 

“Sejak pandemik Covid-19 melanda, seramai 871 Orang Asli di Johor telah dijangkiti wabak Covid-19 yang merekodkan 10 kematian dalam tempoh berkenaan.

 

“Pelaksanaan program outreach oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bukan sahaja dapat meningkatkan kadar vaksinasi Orang Asli dan negara, tetapi juga bertujuan menyantuni mereka dengan sumbangan keperluan harian.

 

“KPLB telah memperuntukkan RM1.53 juta bagi tujuan pelaksanaan program bakul makanan khusus buat masyarakat Orang Asli seluruh negara,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya