PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menerima sebanyak 4,883 permohonan lengkap melalui Aplikasi Kuarantin Di Rumah (HQA) sejak ia dilancarkan sejak seminggu lalu.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,741 permohonan diproses (35.7 peratus) dan sebanyak 1,612 diberi kelulusan (33 peratus) untuk menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman, sehingga hari ini.
Katanya, portal khas ini diwujudkan bagi memudahkan urusan permohonan kuarantin di rumah atau tempat kediaman kepada pengembara dari luar negara yang tiba di Malaysia melalui pelbagai Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).
“Menerusi portal HQA ini, pemohon perlu mengemukakan permohonan di antara tujuh hari ke 10 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.
“Sistem permohonan dalam talian ini masih dalam proses peralihan dan dijangkakan portal ini digunakan secara sepenuhnya mulai bulan depan. KKM mensasarkan lebih banyak permohonan akan dapat diselesaikan dalam tempoh kurang dari tiga hari selepas ini. Sistem ini juga akan ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, pelaksanaan ini adalah selari dengan strategi pembukaan semula dengan selamat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang melancarkan Portal HQA pada 20 September yang lalu.
Katanya, ia sebagai salah satu persiapan menghadapi pertambahan kemasukan pengembara dari luar negara atas pelbagai tujuan.
“Semua pemohon yang diberikan kemudahan tersebut agar mematuhi arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin di rumah sepenuhnya agar dapat mengurangkan risiko daripada menyebarkan penyakit Covid-19 kepada keluarga dan komuniti.
“Ia amat penting bagi mengelakkan penularan varian-varian yang baharu terutamanya Varian Membimbangkan (VOC) atau varian perlu diwaspada (VOI) ke dalam negara,” katanya.
Isnin lalu, Khairy berkata, pihaknya menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) membangunkan sistem bagi permohonan kuarantin di rumah dikenali sebagai portal HQA.
“Sistem baharu itu boleh diakses melalui portal https://ecovid19.moh.gov.my/outbreak-portal-hqa mulai 21 September bagi mana-mana individu yang memasuki negara ini.
“Pelaksanaan HQA susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Ogos lalu, di mana pengembara yang sudah mendapat dos lengkap vaksin Covid-19 diberi kemudahan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman, permohonan untuk mendapatkan kemudahan tersebut meningkat mendadak,” katanya. -UTUSAN ONLINE










