KEMAMAN: Seramai 138,100 remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di Terengganu dijangka selesai menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 6 Oktober ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, seramai 101,000 merupakan pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan swasta.
“Sehingga semalam, kita sudah memberikan suntikan kepada 30,494 remaja,” katanya kepada pemberita selepas melawat Program Vaksinasi Covid-19 membabitkan 398 Orang Asli di Kampung Sungai Pergam di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Kasemani berkata, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Stadium Gong Badak di Kuala Nerus mulai dibuka hari ini yang mampu menampung sehingga 1,200 katil.
“Pembukaan premis baharu ini susulan penutupan tiga PKRC sedia ada iaitu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan di Besut.
“Tiga PKRC ini telah ditutup secara berperingkat sejak bulan lalu memandangkan tidak lama lagi pelajar akan kembali ke institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing,” katanya. -UTUSAN ONLINE