130,000 penduduk dapat air percuma dua bulan mulai Oktober - Utusan Malaysia

130,000 penduduk dapat air percuma dua bulan mulai Oktober

MAMAD PUTEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pemberian air secara percuma selama dua bulan kepada kira-kira 130,000 penduduk di sebahagian daerah ini dan Kuala Nerus akan dilaksanakan mulai bulan depan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, kesemua pengguna yang terjejas dengan krisis bekalan air akibat kejadian paip pecah itu bakal menikmati pengecualian pembayaran bil dari Oktober hingga November.

 

Katanya, pengecualian itu membabitkan peruntukan kira-kira RM1.2 juta menerusi penggunaan air sebanyak 2 juta meter padu. 

 

“Pengguna disaran cermat dan tidak membazir kerana penggunaan yang berhemah akan memastikan sistem agihan air terawat di kawasan terbabit tidak akan terganggu. 

 

“Semoga inisiatif ini membantu dan dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pada 9 Ogos lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan pemberian air secara percuma kepada 28,700 pengguna akaun Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) bagi menghargai kesabaran dan kesulitan rakyat akibat paip pecah di dasar Sungai Terengganu.

 

Terdahulu, krisis air Terengganu berlaku sebanyak dua kali dengan kejadian pertama pada 2 hingga 13 Ogos (12 hari) diikuti kes kedua dari 23 Ogos hingga 10 September (20 hari). -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN