51,466 Orang Asli sudah divaksinasi - Utusan Malaysia

51,466 Orang Asli sudah divaksinasi

ABDUL RAHMAN Mohamad (tengah) membantu mengangkat dos vaksin Cansino untuk dibawa dengan helikopter ke tiga buah penempatan Orang Asli Hulu Jelai di Kuala Lipis, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seramai 51,466 orang iaitu 35.7 peratus Orang Asli di Semenanjung telah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 sejak Program Outreach Vaksinasi Orang Asli mula dilaksanakan awal tahun ini.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar , Datuk Seri Abdul Abdul Rahman berkata, seramai 90,000 orang penduduk Orang Asli lagi masih menunggu untuk divaksinasi dan yakin mencapai 100 peratus kaum minoriti itu menerima dos lengkap pada penghujung bulan Oktober ini.

 

“Program Outreach Vaksinasi Orang Asli pada awal pelaksanaannya agak perlahan, tetapi, sejak bulan Julai lalu, bilangan Orang Asli divaksin semakin bertambah menerusi usaha dijalankan oleh petugas Jabatan Kesihatan di kawasan pedalaman setiap negeri.

 

“Usaha ini bertepatan serta selari dengan hasrat Kementerian Pembangunan Luar Bandar supaya penduduk Orang Asli mencapai imuniti kelompok, iaitu sebanyak 100 peratus di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Outreach Vaksinasi Orang Asli dan penghantaran 1,600 dos vaksin Cansino di pedalaman Hulu Jelai di Kuala Lipis di sini hari ini. 

 

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, beliau yakin menerusi pelbagai usaha Jabatan Kesihatan negeri dan daerah serta kerjasama semua pihak, seramai 215,000 orang penduduk Orang Asli di Semenanjung akan menerima dos lengkap vaksin Covid-19 pada akhir Oktober ini.

 

Sementara itu, beliau berkata, sehingga hari ini, seramai 4,215 penduduk Orang Asli telah menerima vaksin Cansino dan program itu dijangka berterusan sehingga akhir Oktober ini bagi mencapai imuniti kelompok dalam kalangan mereka yang masih belum memperoleh akses bekalan tersebut.

 

“Program suntikan vaksin dos Cansino akan bermula hari ini di Pos Lejang, Pos Titom dan Pos Sinderut kawasan Hulu Jelai dengan kerjasama petugas Pejabat Kesihatan Lipis dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menerusi program outreach di situ. 

 

“Misi jangkauan luar ke kampung Orang Asli di pedalaman Pahang merupakan inisiatif kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dengan kerjasama Jakoa,” katanya.

 

Abdul Rahman menambah, sebanyak 1,600 dos Cansino akan dibawa dengan helikopter bagi mempercepatkan pengangkutan dan kemudahan Orang Asli tiga buah penempatan pedalaman Hulu Jelai menerima suntikan bermula hari ini.

 

“Program outreach vaksinasi selama empat hari dijangka dapat memberikan  manfaat kepada lebih 1,000 orang dari penduduk Orang Asli di tiga buah penempatan tersebut,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN