124 lokasi potensi banjir di Melaka - Utusan Malaysia

124 lokasi potensi banjir di Melaka

CUTHBERT JOHN Martin Quadra (kanan) diberikan penerangan ketika melawat PKOD Melaka Tengah dan PKOB di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri mengesan sebanyak 124 lokasi utama banjir di Melaka pada peralihan Monsun Timur Laut.

Pengarah APM Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, mengikut pecahan, 59 lokasi dikenal pasti di daerah Melaka Tengah manakala Alor Gajah (23) dan Jasin sebanyak 42 lokasi.

Jelasnya, susulan itu, pasukannya telah bersiap sedia dengan 43 senarai aset logistik untuk menghadapi sebarang bencana banjir.

“Kita telah mengesan 124 lokasi hot spot banjir di seluruh negeri ini dan telah bersiap sedia dengan jentera APM yang ada.

“Setakat ini, kita mempunyai 18 buah bot, lima buah lori, sembilan buah ambulans, enam buah kenderaan pacuan empat roda, empat buah van dan satu jet ski,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Melaka Tengah dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 30 pegawai dan 260 anggota berada dalam posisi bersedia untuk ditugaskan ke lokasi terlibat bencana.

“Sekiranya jumlah anggota itu tidak mencukupi, kita mempunyai 473 anggota sokongan.

“Pada peralihan monsun ini, angkatan kami akan memberi nasihat dan amaran cuaca melalui media sosial, selain pemakluman di televisyen serta radio,” ujarnya.

Sementara itu, Cuthbert John menambah, dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai, Yan, di Kedah, sepasukan 14 pegawai serta sukarelawan Pasukan Pasca Banjir Melaka telah dihantar ke sana selama seminggu bagi membantu kerja-kerja pembersihan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya