11 individu ceroboh hutan untuk berkelah ditahan - Utusan Malaysia

11 individu ceroboh hutan untuk berkelah ditahan

KENDERAAN pacuan empat roda yang disita dari kumpulan individu yang ditahan kerana menceroboh Hutan Simpan Amanjaya di Hulu Perak hari ini. - UTUSAN/IHSAN JABATAN PERHUTANAN PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang wanita merupakan antara 11 individu yang ditahan selepas dikesan menceroboh Hutan Simpan Amanjaya di Daerah Hulu Perak hari ini.

Kesemua mereka berusia antara 25 hingga 63 tahun yang menaiki lima kenderaan pacuan empat roda ditahan ketika berada di dalam hutan simpan itu kira-kira pukul 1 pagi.

Jabatan Perhutanan Negeri Perak, dalam kenyataan berkata, siasatan awal mendapati mereka telah memasuki Hutan Simpan Amanjaya tersebut dan sedang menuju ke Hutan Simpan Temenggor bagi tujuan aktiviti perkelahan.

“Pejabat Hutan Daerah Hulu Perak, menerima satu maklumat berkaitan aktiviti pemanduan lasak kenderaan pacuan empat roda di dalam hutan tersebut semalam.

“Sehubungan itu, satu pasukan penguat kuasa dari Pejabat Hutan Daerah Hulu Perak menjalankan kerja-kerja semakan dan pemantauan di kawasan yang disyaki berlaku aktiviti pemanduan lasak tersebut.

“Kesemua individu tersebut didapati melakukan kesalahan kerana memasuki Hutan Simpanan Kekal (HSK) tanpa kebenaran dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak setelah gagal mengemukakan dokumen kebenaran memasuki HSK,” katanya.

Menurut kenyataan itu, semua individu yang ditahan tersebut telah dilepaskan dengan Bon Jaminan Polis manakala semua lima kenderaan pacuan empat roda disita dan dibawa ke Stor Rampasan Bandariang.

Kenyataan itu menjelaskan kesalahan yang boleh didakwa ke atas kesemua suspek ialah di bawah Seksyen 47(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 iaitu kesalahan memasuki HSK tanpa permit.

“Seksyen itu menyatakan sabit kesalahan individu terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Jabatan Perhutanan Perak memberi peringatan kepada mana-mana individu dan orang awam bahawa semua aktiviti rekreasi di dalam HSK adalah tidak dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jabatan itu tetap menguatkuasa Akta Perhutanan Negara 1984 melalui pemantauan dan rondaan yang dibuat walaupun dalam tempoh PKP. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya