REMBAU: Sebanyak 1.5 juta benih udang galah telah dilepaskan di Sungai Timun, di sini dalam tempoh dua tahun lalu bagi menambah sumber udang tersebut sekali gus membantu nelayan untuk menambah pendapatan.
Ketua Daerah Perikanan Rembau Tampin, Md Johari A. Latif berkata, selain itu sebanyak 200,000 benih pelbagai spesies ikan antaranya baung dan lampam sungai turut telah dilepaskan di sungai berkenaan dalam tempoh yang sama.
“Di Sungai Timun ini terdapat tujuh orang nelayan laut yang berdaftar di bawah Jabatan Perikanan Negeri manakala terdapat lebih 30 individu lagi yang menjadi nelayan sambilan.
“Jika sebelum pendemik Covid-19, rata-rata nelayan mampu mencatatkan pendapatan sekitar RM900 hingga RM1,200 melalui hasil perikanan dan udang galah di sini, bagaimanapun ia terjejas selepas penularan Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Program Merdeka @ Komuniti Semarak Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 Daerah Rembau serta Sepakat Komuniti di Jeti Pangkalan Nelayan Sungai Timun di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Dr. Awaludin Said; Pengarah Penerangan Negeri Sembilan, Shahnon Mohamad dan Penyelaras MyFundaction, Khairul Nizam Khairudin.
Sebanyak 2,000 ekor benih ikan lampam sungai dan 1,000 ekor benih ikan baung dilepaskan ke sungai berkenaan pada program tersebut.
Sementara itu, Johari berkata, susulan pendemik Covid-19 juga, aktiviti penyewaan bot yang dijalankan oleh para nelayan juga turut terjejas.
“Jabatan Perikanan ada menghulurkan bantuan lain bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk termasuk penyerahan sumbangan peralatan dan mesin yang boleh digunakan nelayan bagi menambah pendapatan selain menangkap ikan,” katanya.- UTUSAN ONLINE