IPOH: Pandemik Covid-19 yang sedang dihadapi sekarang harus menginsafkan pemimpin yang telah diamanahkan dengan tanggungjawab untuk melakukan penetapan semula perkara-perkara yang perlu diutamakan dalam urus tadbir negara berteraskan prinsip keadilan.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, prinsip keadilan itu ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan menyerahkan amanah kepada mereka yang pakar dalam bidangnya.
Baginda bertitah, ahli falsafah Islam, Ibnu Khaldun dalam karyanya, Mukadimah yang dihasilkan kira-kira 800 tahun lalu memberikan peringatan bahawa sesebuah tamadun akan runtuh apabila pemerintahan gagal melaksanakan keadilan.
“Pada zaman silam, ulama menafsirkan, apabila sesuatu bencana diturunkan, menandakan kemurkaan Ilahi terhadap perbuatan dosa dan kezaliman manusia.
“Oleh itu, di samping usaha begitu gigih yang diterokai untuk mencari formula mengatasi wabak, manusia wajib meneguhkan iman, menerima sesuatu bencana sebagai qadar yang telah ditentukan Ilahi, dan berusaha mencari rahsia yang terkandung di sebalik bencana yang diturunkan,” titah baginda.
Baginda yang juga Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen universiti itu kali ke-13 yang berlangsung secara maya hari ini.
Teks titah perasmian itu dibacakan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja yang juga Pro-Canselor USAS, Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi Zainuddin.
Sultan Nazrin bertitah, Ibnu Khaldun mengaitkan bencana dengan perubahan sosial yang membentuk lima fasa, iaitu fasa pertama apabila suatu kaum bersandarkan semangat asabiyah bergerak membentuk identiti politik.
Fasa kedua, bermulanya perluasan kuasa, pengaruh dan wilayah diikuti fasa ketiga apabila kerajaan melalui zaman kemewahan dan kesenangan hasil pemerintah sebelumnya manakala, fasa keempat ialah kelalaian dan berpuas hati dengan pencapaian diikuti fasa kelima iaitu kejatuhan dan kehancuran sesebuah identiti politik serta kerajaan.
Titah baginda lagi, Ibnu Khaldun memberikan peringatan bahawa lima fasa tersebut akan berulang dengan setiap tamadun dan setiap identiti politik akan menghadapinya dalam kitaran sejarah.
“Manusia, pada saat menghadapi bencana berat yang sedang melanda ini, wajib mendalami lubuk hati, menyelami daya fikir, agar dapat menginsafi tentang kemungkinan jatuhnya sesebuah identiti politik, kerajaan, negara dan tamadun, jika sesebuah negara tidak memiliki cukup persediaan dan kekuatan,” titah baginda.
Sultan Nazrin juga mengingatkan graduan agar tidak lupa diri dan menjadi seperti kacang lupakan kulit apabila berjaya dengan melupakan anugerah Ilahi itu serta melupakan pengorbanan pelbagai pihak lain termasuk ibu bapa, guru dan pihak pembiaya.
Baginda bertitah, jawatan, pangkat dan kekayaan jangan sampai menukarkan sifat-sifat mulia insani sebaliknya amalkan sifat merendah diri, cepat memohon maaf bila melakukan kesilapan, sifat rendah diri yang insaf dirinya seorang hamba, dan sifat bersedia menerima nasihat meskipun daripada seseorang yang pada zahirnya kelihatan berkedudukan lebih rendah.
“Terimalah setiap nasihat, lebih-lebih lagi teguran sebagai peringatan untuk menjauhkan kita daripada hanyut dan tenggelam dalam khayalan kejayaan dan kehebatan,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE