Waris pasangan meninggal akibat Covid-19 terima pencen Penakat - Utusan Malaysia

Waris pasangan meninggal akibat Covid-19 terima pencen Penakat

FARAH SHAHIRA Mohd. Fazir (tiga dari kanan) menerima bayaran faedah Perkeso dan sumbangan lain atas kematian ibu bapanya akibat Covid-19 di Kampug Padang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Waris kepada pasangan suami isteri yang meninggal dunia akibat wabak Covid-19, di sini, menerima pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini.

Mohd. Fazir Abdul Hamid, 49, bekerja sebagai kakitangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) meninggal dunia akibat Covid-19 pada 21 Julai lalu dan diikuti isterinya, Hamzan Yusof, 49, 7 Ogos lalu.

Kedua-duanya meninggalkan tiga orang anak berusia antara 18 tahun hingga 24 tahun yang kini menetap di rumah peninggalan mereka di Kampung Padang, dekat sini.

Anak sulung daripada tiga beradik itu, Farah Shahira, 24, berkata, sejak kematian ibu bapa mereka dia mengambil alih menggalas tugas sebagai ketua keluarga dan menjaga kedua-dua adiknya.

“Saya sudah berkahwin dan sebelum ini tinggal bersama ibu mentua, namun, kini, sudah berpindah ke rumah ibu bapa saya untuk menjaga adik-adik.

“Saya akui memang terasa kehilangan kedua-dua orang tua dalam masa yang singkat, namun, kami semua reda dan setakat ini, kami masih belum membuat sebarang perancangan,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Padang di sini hari ini.

Ketiga-tiga beradik itu turut mendapat bantuan khairat kematian RM3,000 dan sumbangan kebajikan RM10,000 daripada pihak MBK.

Farah Shahira berkata, sedikit-sebanyak mereka merasa lega dan berterima kasih kepada pihak Perkeso dan MBK yang banyak membantu.

“Saya berterima kasih kepada pihak terbabit kerana menyegerakan wang pencen kedua ibu bapa kami dan termasuk juga penerimaan bantuan-bantuan lain. Insya-Allah kami akan menggunakan wang tersebut dengan sebaik mungkin,” katanya.

Majlis penyampaian pencen dan bantuan tersebut disampaikan Datuk Bandar MBK, Datuk Hamdan Hussin dan Pengarah Perkeso, Tarmizi Mukhtar.

Sementara itu, Tarmizi berkata, hasil semakan kedua-duanya pernah mencarum sekali gus mereka layak menerima pencen dengan pertubuhan ini.

“Berdasarkan kepada maklumat yang diperoleh, Mohd. Fazir yang sebelum ini merupakan pekerja kontrak pernah mencarum dari 1992 hingga 2003 sekali gus melayakkan waris mereka menerima pencen Penakat.

“Ketika proses menguruskan faedah tersebut, kami juga telah memperoleh maklumat bahawa Hamizam yang pernah bekerja di sebuah syarikat pembersihan di sini turut mencarum dan layak menerima faedah sama.

“Dengan itu, dua daripada anaknya layak menerima pencen Panakat secara bulanan dari Perkeso sehingga mereka berusia 21 tahun,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak RM820,603.75 jumlah bayaran faedah Covid-19 telah disampaikan kepada pencarum di negeri ini yang dijangkiti wabak tersebut termasuk 24 kes membabitkan kematian bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya