Warga emas 100 tahun ceria terima suntikan vaksin - Utusan Malaysia

Warga emas 100 tahun ceria terima suntikan vaksin

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: “Saya terkejut dengan layanan yang diberikan di PPV (Pusat Pemberian Vaksin) ini kerana tak sampai 10 minit, mak saya dah selesai divaksin, Alhamdulillah.”

Itu kata Salim Saad, 63, yang hadir menemani ibunya, Che Ah Taib, 100, untuk mendapatkan vaksin secara bersemuka atau ‘walk-in’ di PPV Dewan Millenium, di sini hari ini.

Menurut Salim, ibunya kelihatan begitu gembira dan hanya tersenyum ketika ditanya mengenai perasaannya selepas disuntik vaksin tersebut yang dilakukan secara pandu lalu di sini.

“Setakat ni, tak nampak apa-apa kesan sampingan lagi (selepas menerima suntikan vaksin).

“Mak saya pun Alhamdulillah, tak ada sakit-sakit apa sebelum ini. Cuma, dia perlu dibantu kalau hendak bergerak ke mana-mana, ” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain Salim yang telah menerima satu dos suntikan vaksin sebelum ini, isterinya, Aminah Mohd., 60-an yang telah lengkap divaksin juga hadir ke PPV itu dengan membawa seorang jiran mereka iaitu Salmah Hassan, 77 tahun menaiki kenderaan lain untuk mendapatkan vaksin berkenaan kerana wanita tersebut tidak memiliki kenderaan sendiri.

Difahamkan, sebanyak 250 dos suntikan disediakan di PPV Dewan Millenium untuk golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang datang secara ‘walk-in’ hari ini.

Selain PPV Dewan Milenium di sini, tiga lagi lokasi di Pulau Pinang yang turut menawarkan pemberian vaksin secara ‘walk-in’ untuk warga emas ialah di Dewan SP Arena di Seberang Perai Tengah (SPT); Dewan Serbaguna Jawi di Seberang Perai Selatan (SPS) dan Pusat Konvensyen SPICE di Bayan Lepas.

Dalam pada itu, seorang lagi warga emas, Mohd. Adam Ahmad, 66, memberitahu, dia mendapat tahu mengenai pemberian vaksin secara ‘walk-in’ itu menerusi kumpulan WhatsApp yang menularkan mengenai perkara itu sebelum ini.

“Saya dah daftar (MySejahtera) sebelum ini tapi belum dapat apa-apa temujanji.

“Jadi, saya cuba nasib datang ke sini dan Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar,” kata bapa kepada lima anak itu yang tinggal di Tasek Gelugor.

Bagi seorang lagi warga emas, Ahmad Soid, 64, dia juga mencuba nasib untuk datang secara ‘walk-in’ ke PPV itu selepas diberitahu mengenai perkara tersebut oleh rakannya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Saya ada penyakit kencing manis sikit-sikit tapi ‘gagah’ (berusaha) juga untuk ‘mai’ (datang) sini naik motor,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya