PETALING JAYA: Gara-gara mahu melepaskan tunang yang dicekup kerana kesalahan dadah, seorang wanita sanggup mencuba nasib menyogok anggota polis dengan menawarkan wang RM21,000.
Bagaimanapun, tindakan wanita berusia 22 tahun itu mengundang padah apabila dia akhirnya turut ditahan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pada mulanya, pihaknya telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun kira-kira pukul 5.30 petang semalam.
Kata beliau, menerusi operasi yang dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul diketuai Inspektor Liaw Ken Yeh itu telah menahan suspek yang sedang menaiki kereta jenis Perodua Myvi di sebuah kawasan perumahan, Jalan 1/2B off Jalan Ipoh itu ditahan kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.
“Hasil pemeriksaan ke atas kereta yang dibawa suspek itu, polis dapat merampas 13 peket plastik berisi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamin (AB: 168.66 gram) dan tiga peket plastik berisi bahan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 2.92 gram.
“Nilai anggaran bagi rampasan dadah itu berjumlah RM16,968.20 dan dianggarkan boleh membekalkan kepada 337 penagih
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah Tetrahydrocannabinol (THC) dan suspek turut memiliki satu rekod dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Eng Lai, berikutan penahanan itu, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 13 Ogos sehingga 19 Ogos bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,
Namun begitu, ujar beliau, seorang wanita tempatan yang juga adalah tunang kepada suspek datang ke pejabat BSJND Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi sebelum cuba menawarkan wang tunai berjumlah RM21,000 kepada Inspektor Liaw Ken Yeh dan Detektif Sarjan Zulkifli Nordin sebagai sogokan untuk membebaskan tunangnya.
“Suspek sudah diberi amaran supaya berhenti daripada meneruskan niat dan tindakannya. Namun, tidak diendahkan.
“Susulan itu, kita telah menangkap wanita terbabit dan suspek berserta barang kes akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” jelasnya.-UTUSAN