IPOH: UMNO Perak menyokong penuh keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, ini selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO, yang mendukung dan mempertahankan Perlembagaan negara dan raja berperlembagaan.
“Kenyataan yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi juga selari dengan keputusan yang telah dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO yang lepas.
“Dengan penarikan sokongan beberapa ahli parlimen UMNO, kami yakin PN dan juga Muhyiddin telah hilang majoriti di Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, UMNO Perak akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan negeri dengan memberikan tumpuan kepada usaha menangani pandemik Covid-19 serta memastikan nasib rakyat terus terbela. – UTUSAN










