KANGAR: Tujuh lelaki termasuk seorang pemilik restoran yang juga dalang sindiket pengedaran ganja dan methamphetamine ditahan polis secara berasingan dalam tujuh serbuan di sekitar negeri ini dan Selangor pada 4 hingga 7 Ogos lalu.
Tangkapan tersebut melibatkan suspek yang berumur antara 27 hingga 51 tahun dengan rampasan ganja sebanyak 161.76 kilogram dan methamphetamine seberat 4.12 kilogram bernilai kira-kira RM603,920.
Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di kampung sekitar Kangar pada 4 Ogos lalu, pihaknya berjaya menahan seorang suspek dan merampas ganja seberat 161.76 kilogram.
Katanya, susulan tangkapan tersebut, pihaknya melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di kawasan perumahan dan merampas methamphetamine seberat 800 gram.
Jelasnya, dalam serbuan ketiga pada hari sama sekitar pukul 11.30 malam, pihaknya berjaya memberkas tiga lagi suspek.
Ujarnya, serbuan tersebut dilakukan di sekitar Kangar dan Padang Besar.
“Hasil soal siasat terhadap suspek itu, pada pukul 1.20 petang keesokan harinya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis telah menyerbu taman perumahan di Kangar dan menemukan methamphetamine seberat 3.32 kilogram yang disembunyikan dalam bungkusan teh dan kotak makanan segera.
“Susulan daripada serbuan itu, pada pukul 4 petang hari sama, kami berjaya menangkap seorang lagi suspek di Padang Besar manakala seorang lagi suspek ditangkap keesokan harinya di Beseri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.
Tambah Surina, ketua sindiket berusia 27 tahun yang juga pemilik restoran di Selangor pula diberkas oleh JSJN Bukit Aman di Sungai Buloh pada 6 Ogos sekitar pukul 1.40 petang.
Katanya, hasil siasatan mendapati, bekalan dadah tersebut diperoleh dari Thailand dan Perlis dijadikan sebagai transit untuk penyimpanan sebelum diedarkan di kawasan utara dan selatan tanah air.
“Sindiket tersebut dikesan aktif menjalankan kegiatan ini sejak awal Julai tahun ini. Dadah tersebut dipercayai dibawa masuk melalui lorong-lorong tikus dan melalui jalan darat menggunakan kereta sewa.
“Rumah sewa digunakan sebagai tempat menyimpan dan pembungkusan. Sindiket ini dikendalikan oleh ketua sindiket melalui panggilan telefon bagi merekrut anak tempatan menjadi pengedar,” ujarnya.
Tambah Surina, hasil saringan mendapati kesemua suspek positif methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Katanya lagi, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 13 Ogos.
“Selain itu, kita turut menyita tiga buah kereta jenis Toyala Velfire, Perodua Alza dan Perodua Myvi serta 10 motosikal masing-masing jenis Y15ZR, Y125, Y125ZR, Y125 LC, Honda Wave 110, dan Kawasaki RR 150 dengan nilai keseluruhan RM389,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen(1)(a) akta yang sama,” katanya. -UTUSAN ONLINE