TMJ selesai jumpa guru-guru tolak vaksin - Utusan Malaysia

TMJ selesai jumpa guru-guru tolak vaksin

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim berkenan mengadakan pertemuan dengan guru-guru Johor yang dilaporkan menolak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 396 guru daripada keseluruhan 779 guru yang menolak untuk mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 di negeri ini menggunakan alasan ragu-ragu dengan vaksin berkenaan.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, selebihnya dikatakan menolak berikutan keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Selain itu, titah baginda, guru-guru terlibat turut menggunakan alasan mempunyai alahan dan sedang mengandung.

“Saya telah mendengar ulasan dari para guru mengenai isu yang mereka hadapi. Daripada 779 orang guru yang asalnya menolak vaksin, didapati hanya 396 yang tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap vaksin.

“Bakinya telah mengambil pendirian untuk ditangguhkan buat masa ini, kerana mempunyai alahan, mengandung, ataupun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Sebilangan guru kini telah bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin,” titah baginda dalam kenyataan, di sini hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan yang diadakan di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan itu ialah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu.

Titah Tunku Ismail, pihaknya berharap guru-guru terlibat sedar akan tanggungjawab mereka sebagai pendidik kepada generasi muda di negeri ini.

“Saya berharap guru-guru ini sedar tanggungjawab mereka untuk sentiasa mengetengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik.

“Harap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” titah baginda.

Terdahulu, Tunku Ismail bertitah agar kesemua 779 guru-guru di Johor yang dilaporkan menolak untuk menerima suntikan vaksin menghadap baginda selepas perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN