Hasil titik keringat merekalah yang mengisi meja hidangan kita - Utusan Malaysia

Hasil titik keringat merekalah yang mengisi meja hidangan kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi kebanyakan daripada kita,  tarikh  6 Ogos tidak banyak memberi makna. Namun berbeza bagi golongan peladang, penternak dan nelayan kerana pada tarikh itulah  golongan tersebut diraikan sebagai menghargai sumbangan mereka. 

Sambutan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan (HPPN) Ke-46 yang diraikan semalam dalam suasana norma baharu menjadi bukti dalam keadaan apa sekali pun, pengiktirafan dan penghargaan tetap diberikan kerajaan terhadap sumbangan golongan tersebut yang menjadi pengeluar utama bekalan makanan negara. 

Hari Peladang Penternak Dan Nelayan (HPPN) di sambut pada 6 Ogos setiap tahun. Ia telah diisytiharkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia Ke-2 sempena Gerakan Pembaharuan yang berlangsung di Dungun, Terengganu pada 6 Ogos 1972. 

Sempena HPPN yang diraikan semalam, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menganjurkan sambutan secara maya menerusi penganjuran webinar oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang menjadi platform perkongsian maklumat dan penjelasan mengenai pelbagai isu, cabaran dan peluang yang dihadapi oleh peladang, penternak dan nelayan dalam mendepani Covid-19. 

Pada sambutan HPPN secara maya ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapannya bagi menzahirkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan peladang, penternak dan nelayan yang menjadi pengeluar utama bekalan makanan negara.

Perdana Menteri turut memanjatkan rasa kesyukuran kerana Malaysia masih mempunyai stok bekalan makanan yang stabil dan terjamin walaupun negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

 “Kesemua ini adalah hasil daripada komitmen dan usaha berterusan tanpa mengenal penat lelah para peladang, penternak dan nelayan yang pada hakitkatnya adalah petugas barisan hadapan atau frontliners kita dalam sektor agromakanan negara,”  kata beliau.

Perdana Menteri turut menyatakan bahawa golongan peladang, penternak dan nelayan tidak pernah dipinggirkan.

Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar peruntukan khas kepada MAFI iaitu dengan nilai RM640 juta dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), dan Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). “Kerajaan terus menyediakan peruntukan besar kepada MAFI setiap tahun. Menerusi Bajet 2021, sejumlah RM4.79 bilion telah diperuntukkan kepada MAFI untuk terus merancakkan lagi sektor pertanian dan industri makanan negara.

Khusus buat 300,000 orang pesawah, sejumlah RM1.53 billion peruntukan diluluskan bagi subsidi dan insentif pengeluaran padi negara”, kata Perdana Menteri.

Bagi menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan telah mengkategorikan semua aktiviti dan perkhidmatan dalam rantaian pengeluaran makanan sebagai `perkhidmatan perlu’ (essential services) untuk memastikan bekalan makanan sentiasa terjamin dalam tempoh pandemik Covid-19 yang begitu mencabar ini. 

MAFI juga akan melaksanakan Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan (AiVAC) bagi membantu Kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi terhadap kumpulan sasar sektor agromakanan yang meliputi individu, syarikat termasuk ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK). Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengumumkan perkara ini dalam ucapan alu-aluannya sempena sambutan HPPN yang disampaikan secara dalam talian. 

DR RONALD KIANDEE

Menurut Dr Ronald, MAFI akan melaksanakan AiVAC dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) yang akan melibatkan semua Jabatan dan Agensi di bawah MAFI di peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah termasuk PPK dan PNK. 

Melalui program ini, beliau berkata MAFI menjangkakan semua barisan hadapan sektor agromakanan akan lengkap divaksinasi menjelang November 2021. Sebelum ini, MAFI juga telah menyokong dan memudahcara proses vaksinasi melalui syarikat-syarikat dalam sektor agromakanan melalui Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS). 

“Pada masa yang sama, perkembangan positif kadar vaksinasi harian yang telah dan sedang dilaksanakan Kerajaan memberi keyakinan kepada kita bahawa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat kita jayakan bersama.

 “Dalam hal ini, saya menyeru supaya seluruh warga Peladang, Penternak dan Nelayan untuk sama-sama menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan segera mendaftar dan mendapatkan vaksin Covid-19,” katanya. 

Tambah Dr Ronald, MAFI sentiasa prihatin dengan keperluan para peladang, penternak dan nelayan. Kesemua peruntukan sama ada berbentuk peruntukan pembangunan semasa dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), mahupun peruntukan-peruntukan khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah bagi membantu para peladang, penternak dan nelayan untuk meneruskan projek dan aktiviti pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran. 

Beliau berkata pelbagai bantuan bersasar di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan bagi membantu pengusaha sektor agromakanan yang terkesan termasuk mereka yang mengusahakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk kembali pulih dan meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing. Sambutan HPPN 2021 hari ini diteruskan dengan sesi Webinar HPPN yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh. 

Dua kertas kerja turut dibentangkan dalam webinar  tersebut oleh Ketua Setiausaha MAFI  Datuk  Haslina  Abdul Hamid, dan Ketua Pengarah LPP, Datuk  Azulita Salim, .

Meja hidangan kita terisi pelbagai makanan berkat titIk peluh golongan peladang, penternak dan nelayan.- GAMBAR HIASAN.

Sesi webinar ini juga turut menyaksikan perkongsian pengalaman telah disampaikan oleh  Abdul Hafidz Win, Usahawan Peladang Pertubuhan Peladang Kawasan Muar Selatan, Johor dan Tuan Rozi Tuan Hussin, Usahawan Nelayan Pasar Nelayan Pulau Gajah. 

Penganjuran webinar ini diharapkan dapat membantu peladang, penternak dan nelayan untuk melonjakkan sektor agromakanan ke satu dimensi yang lebih kompetitif, efektif dan berdaya saing dari permulaan aktiviti pengeluaran, lepas tuai, pemborongan, peruncitan serta pengedaran agar sektor ini berkembang dengan lebih pantas. 

Kerajaan yakin pelbagai inisiatif dan insentif yang disediakan akan menjadi pemangkin membantu negara dalam pembangunan Industri agromakanan bagi keseluruhan rantaian aktiviti pengeluaran makanan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.