KUALA TERENGGANU: Tiga beradik yang menderita sakit kronik di Kampung Teluk Pasu di sini terpaksa menolak janji temu vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) yang ditetapkan kira-kira dua minggu lalu.
Zaleha Awang, 62, yang kudung kaki kiri manakala Rozelan, 54, pula terlantar kerana strok di samping Yusof, 44, yang dijangkiti kencing manis terpaksa berbuat demikian kerana kekangan pengangkutan.
Bagaimanapun, ketiga-tiga beradik itu boleh menarik nafas lega kerana menerima suntikan berkenaan di kediaman mereka menerusi program vaksinasi secara mobil yang dikendalikan petugas PPV Unisza.
Wakil keluarga, Azmi, 57, berkata, mereka hanya memiliki motosikal dan tiada kereta untuk membawa kakak dan adik-adiknya ke pusat berkenaan.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Unisza kerana sudi hadir membantu keluarga saya dan peluang ini sekali gus membolehkan emak saya, Mariam Yusof, 78, turut disuntik.
“Sebelum ini, kalau perlu membawa kakak dan adik-adik ke hospital, saya terpaksa meminjam kenderaan jiran atau sepupu kerana cuma memiliki motosikal,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Sementara itu, Penyelaras Data PPV Unisza, Norkhairani Abdul Rawi berkata, kesulitan keluarga berkenaan dikenal pasti selepas mengesan nombor telefon sama yang didaftarkan kesemua mereka yang menolak janji temu tersebut.
Katanya, selepas perbincangan dengan pihak pengurusan, lapan petugas hadir bagi memberikan perkhidmatan suntikan itu kepada tiga beradik berkenaan di samping ibu dan dua saudara lain. -UTUSAN ONLINE










