Tiada acara Ambang Merdeka 2021 - Utusan Malaysia

Tiada acara Ambang Merdeka 2021

TEMA Hari Kebangsaan 2021 masih lagi kekal Malaysia Prihatin seperti tahun lalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Buat tahun kedua berturut-turut, tiada acara rasmi Ambang Merdeka pada lewat malam 30 Ogos ini di seluruh negara susulan situasi semasa penularan wabak Covid-19 yang meningkat dan membimbangkan.

Menerusi laman sesawang rasmi Bulan Kebangsaan 2021, www.merdeka360.my yang diselaraskan Jabatan Penerangan Malaysia, acara itu tidak disenaraikan dalam takwim program, sebaliknya, hanya 15 aktiviti selain lapan acara berbentuk pertandingan disusun urus setia sambutan induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sepanjang bulan ini dan bulan depan.

Antara yang sudah pun dimuktamadkan pihak sekretariat sambutan tersebut ialah Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 pada Sabtu ini, namun, lokasi program berkenaan untuk peringkat kebangsaan yang sepatutnya di Terengganu, belum diputuskan lagi.

Pada 7 Julai lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, turut membayangkan berlaku perubahan tempat termasuk lokasi pilihan kedua di Putrajaya sebagaimana pertukaran acara perbarisan Hari Kebangsaan 2021 dijadualkan di Kuala Lumpur ke pusat pentadbiran kerajaan pusat itu.

Tahun lalu, Ambang Merdeka dibatalkan berikutan keadaan pandemik Covid-19 ketika itu dan digantikan dengan program Konsert Kita Merdeka 1957-2020 di Angkasapuri Kuala Lumpur bagi mengelakkan orang ramai berkumpul dalam keadaan sesak di lokasi tumpuan bagi menyaksikan pertunjukan bunga api dan acara hiburan.

Ambang Merdeka pernah dibatalkan pada 2014 lalu sebagai tanda berkabung negara susulan insiden misteri kehilangan pesawat MH370 dan tragedi MH17 ditembak oleh peluru berpandu selain pernah membatalkan acara tersebut dari 2009 sehingga 2011 sebagai menghormati kesucian bulan Ramadan ketika itu.
Program tahunan itu mula diperkenalkan pada 1997 lalu yang menyaksikan buat julung kali bendera Malaysia diberikan nama rasmi tersendiri iaitu Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri.

Acara ini pernah diubah ke Stadium Nasional di Bukit Jalil daripada lokasi tradisi di Dataran Merdeka bersempena penutup temasya terbesar serantau, Sukan SEA XXIX pada 2017 lalu.

Tema Hari Kebangsaan 2021 masih lagi kekal Malaysia Prihatin seperti tahun lalu dengan sambutan sederhana serta pematuhan protokol kesihatan ketat bagi mengekang kes Covid-19. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya