SEMPORNA: Seorang tekong bot bertindak nekad terjun ke laut dan berenang ke kawasan hutan bakau bagi mengelak dicekup pihak berkuasa semasa menyeludup masuk rokok di perairan Pulau Sisipan, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.15 malam itu, lelaki tersebut dilihat melarikan diri dengan bertindak terjun ke laut apabila dihampiri oleh bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot peronda APMM mengesan sebuah bot yang bergerak dalam keadaan mencurigakan semasa anggotanya menjalankan penugasan Op Pluto Timur di perairan berkenaan.
Namun, apabila dihampiri, tekong bot itu nekad melarikan diri dengan terjun ke laut dan seterusnya berenang ke arah hutan bakau berdekatan.
“Pemeriksaan terhadap bot enjin sangkut itu mendapati terdapat tiga bungkusan kotak besar rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM15,290 dan dipercayai di seludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.
“Justeru, Zon Maritim Semporna akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan dan menjejaki suspek yang dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti penyeludupan rokok di daerah ini,” katanya.
Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot serta enjin dianggarkan berjumlah RM21,790. – UTUSAN ONLINE










