Tarik sokongan : UMNO buat keputusan tepat - Utusan Malaysia

Tarik sokongan : UMNO buat keputusan tepat

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin politik berpandangan keputusan UMNO menarik balik  sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai keputusan yang tepat. 

Malah, mereka turut berpendapat sudah tiba masa untuk Perdana Menteri dan seluruh Kabinet berundur dan memberi jalan kepada pembentukan kerajaan baharu untuk memulihkan keadaan politik negara serta menguruskan pandemik Covid-19 dengan lebih teratur. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman menyifatkan, tarikan sokongan UMNO terhadap kerajaan sebagai satu kelegaan dan sudah tiba masa untuk berlaku peralihan kerajaan. 

“Ini urusan ‘rumah tangga’ PN yang sudah gagal dan tidak mampu untuk diselesaikan lagi. Kalau benar kerajaan tidak gagal, buat apa UMNO menarik sokongannya?

“Siapa pun yang jadi kerajaan selepas ini, biarlah semua pucuk pimpinan parti di negara ini melihat (siapa yang layak mentadbir negara) dan sudah tentu agenda utama adalah keluar dari pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Senada dengan beliau, Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya berkata, semua pihak mengharapkan apa sahaja keputusan selepas ini adalah untuk memastikan bahawa kedudukan negara, ekonomi, kesihatan rakyat dapat dipulihkan seperti sedia kala.

Bagaimanapun, beliau tidak menganggap keputusan diambil UMNO sebagai berita gembira kerana pandemik Covid-19 merupakan perkara paling utama untuk ditangani negara dan rakyat. 

“Muhyiddin perlu meletakkan jawatan secara terhormat kerana keabsahannya sudah terbukti bahawa gabungan parti yang menubuhkan PN secara terang dan termasuk ahli parlimen membuat kenyataan yang jelas kepada Seri Paduka untuk menarik sokongan kepada beliau. 

“Maka dengan secara automatiknya, beliau harus meletak jawatan seperti mana beliau menarik keluar parti bersama dengan Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) meninggalkan Pakatan Harapan (PH) sehinggakan Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksa melepaskan jawatan,” katanya.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin pula berkata, Seri Paduka tentunya akan bertindak mengikut peruntukan dalam Perkara 43 (4) Perlembagaan berkenaan siapa yang mendapat sokongan majoriti di Parlimen untuk menjadi perdana menteri.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad bersyukur dan berterima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana menunaikan janji untuk menarik sokongan terhadap PN. 

Khalid juga mencadangkan Pakatan Harapan (PH) untuk memimpin kerajaan kerana gabungan itu memiliki majoriti yang boleh meneraju negara.

“Saya berharap Seri Paduka Baginda melucutkan jawatan Perdana Menteri dan membenarkan perbincangan diadakan untuk memilih kerajaan baharu. Saya juga mencadangkan agar Seri Paduka Baginda bertanggungjawab dan amanah dalam memilih kerajaan baharu yang boleh memimpin negara kita dengan baik,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Howard Lee Chuan How berkata, terlalu awal untuk memberi maklum balas tentang keputusan UMNO kerana situasinya begitu dinamik ketika ini. 

“Banyak perubahan yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Kita tunggu, lihat dan biarkan ia melalui proses yang sewajarnya dan ini harus diberi penghormatan kepada Istana Negara untuk mengesahkan apa yang berlaku,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan ketika dihubungi enggan menjawab soalan pemberita berkenaan isu yang berlaku antara UMNO dan PN. 

Ahmad Zahid dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi petang tadi mengambil berpendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau akan mempersembahkan surat akuan kepada Seri Paduka bagi menzahirkan penarikan sokongan kepada Muhyiddin dan Kerajaan PN -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.