Tak perlu cetak kad digital vaksin - Utusan Malaysia

Tak perlu cetak kad digital vaksin

NOOR Azmi Ghazali (kanan) menunjukkan isyarat bagus selepas memberi suntikan kepada penerima vaksin Covid-19 di PPV Dewan KEMAS di Gopeng hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Tiada keperluan untuk mencetak sijil digital pengesahan bagi individu yang telah lengkap disuntik vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, individu yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah mahupun aktiviti sosial lain hanya perlu menunjukkan sijil digital dalam aplikasi MySejahtera kepada penguat kuasa.

“Tidak perlu cetak sijil tersebut, cukup tunjukkan aplikasi MySejahtera melalui telefon bimbit kepada pegawai di SJR dan mereka akan lihat dengan teliti.

“Selain kaedah itu, setiap individu yang lengkap divaksin juga ada menerima kad vaksinasi, itu juga boleh ditunjukkan sebagai bukti. Setakat ini, hanya itu sahaja SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam Dewan Kemas Gopeng di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes penjualan sijil digital pengesahan individu telah lengkap disuntik vaksin Covid-19 dalam platform e-dagang yang dikesan di Kedah semalam.

Menurut Azmi, siasatan akan dijalankan berkaitan dakwaan penjualan sijil digital itu bagi memastikan kesahihannya sekali gus membolehkan tindakan segera diambil.

Katanya, penjualan sijil digital itu adalah satu penipuan sedangkan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak pernah mengeluarkan perolehan kepada mana-mana pihak untuk mengeluarkan sijil berkenaan.

“Selain siasatan oleh pihak polis, KKM melalui Unit Inspektorat dan Perundangan juga akan menyiasat dakwaan tersebut.

“Penjualan sijil digital itu adalah satu penipuan, orang akan tipu mengatakan telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19. Setakat ini, laporan kes berkenaan hanya diterima di Kedah,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan sijil digital pengesahan individu telah lengkap disuntik vaksin Covid-19 dikesan mula dijual oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam media sosial.

Ketua Jabatan Obstetriks dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah, Datuk Dr. Mohd. Rushdan Mohd. Noor dalam perkongsiannya di Facebook memberitahu, sijil tersebut dijual pada harga RM15 yang memaparkan maklumat penerima sijil berkenaan termasuk gambar.

Susulan itu, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya