Suami meninggal akibat Covid-19 - Utusan Malaysia

Suami meninggal akibat Covid-19

RUBIYATUL Adawiyah Mohd. Nordin (kiri) dan arwah Anual Ridzuan Mustafa (kanan) bersama Adam Khaleef, Iman Mikayla dan Sofia Medyna bergambar kenangan di rumah mereka di Perkampungan Cenderawasih, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang isteri berdepan ujian cukup berat apabila suami tercinta meninggal dunia selepas tiga hari bersalin sebelum dia juga disahkan positif Covid-19.

Rubiyatul Adawiyah Mohd. Nordin, 32, melahirkan anak keempat diberi nama Armel Humaira Anual Ridzuan pada 3 Ogos lalu sebelum suaminya, Anual Ridzuan Mustafa, 38, meninggal dunia tiga hari selepas itu..

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rubiyatul Adawiyah berkata, keputusan ujian calitan Covid-19 yang mengesahkan Anual Ridzuan positif hanya diketahui selepas suaminya itu meninggal dunia.

“Saya benar-benar tertekan. Anak baru lahir, suami pula meninggal dunia. Emosi bercampur baur tetapi saya perlu kuat di depan keluarga terutama anak-anak.

“Arwah pergi terlalu cepat dan secara mengejut tanpa sempat meninggalkan apa-apa pesanan untuk saya serta anak-anak,” katanya di sini semalam.

Rubiyatul Adawiyah berkata, selepas menghidap demam dan batuk berulang kali, suaminya membuat keputusan menjalani ujian calitan Covid-19 di Klinik Kesihatan Indera Mahkota pada 4 Ogos dan diminta kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan.

“Kira-kira pukul 5 pagi pada 6 Ogos lalu,suami beritahu dia sesak nafas dan minta dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Sekali lagi ujian calitan dilakukan dan dalam waktu yang sangat singkat. Kami membuat panggilan video terakhir sebelum dia ditidurkan selepas tahap oksigennya tinggal 40 peratus dan akhirnya disahkan meninggal dunia pada pukul. 7.15 pagi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA),” katanya.

Berikutan itu, Rubiyatul Adawiyah yang juga suri rumah sepenuh masa bersama tiga anaknya ke klinik swasta menjalani ujian calitan Covid-19.

Menurutnya, hasil ujian calitan pada 6 Ogos itu diperoleh dua hari kemudian mengesahkan dia dan anak sulungnya, Adam Khaleef, 6, positif Covid-19 manakala dua lagi anaknya, Iman Mikayla, 4, dan Sofia Medyna, 2, negatif. Bayinya pula menjalani ujian calitan pada 15 Ogos dan masih menunggu keputusan.

“Menggigil satu badan apabila disahkan positif sehingga saya tidak tahu apa yang harus dilakukan. Tidak dapat nak gambarkan perasaan tu.

“Apa yang perlu dilakukan kini hanya perlu menjaga kesihatan sebaik mungkin dan berdoa kami pulih sepenuhnya selepas habis tempoh kuarantin,” katanya yang tinggal di Perkampungan Cenderawasih, di sini.

Rubiatul Adawiyah bersama bayi dan anak sulungnya kini sedang menjalani kuarantin di Kolej Kejururawatan di sini sehingga 25 Ogos ini manakala dua lagi anaknya dijaga oleh adik iparnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×