SOP 'dine in' peningkan peniaga - Utusan Malaysia

SOP ‘dine in’ peningkan peniaga

AKTIVITI 'dine in' di medan selera di sebuah pasar raya di Jalan Gurney, Georgetown, Pulau Pinang masih belum disediakan buat pelanggan hari ini ekoran terdapat peniaga yang masih belum melengkapkan vaksin Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Prosedur operasi standard (SOP) berkaitan dine-in yang mensyaratkan premis hanya boleh dibuka sekiranya pekerja di premis atau restoran telah divaksin lengkap ternyata memeningkan para peniaga makanan serta pengusaha restoran.

Tinjauan Utusan Malaysia di medan selera di sebuah pasar raya di Jalan Gurney di sini hari ini mendapati, rata-rata peniaga tidak dapat menawarkan perkhidmatan dine-in  kepada pelanggan kerana mereka belum mendapat vaksin Covid-19 yang lengkap.

Malah, mereka juga tidak mahu mengambil risiko disaman oleh pihak berkuasa sekiranya tetap menawarkan perkhidmatan dine-in di premis masing-masing walaupun berdepan dengan kekurangan pendapatan.

Bagi Presiden Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia (iMcom), Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, golongan peniaga amat kecewa dengan SOP berkaitan dine-in itu yang amat membebankan peniaga.

MOHAMED RIZWAN ABDUL GHAFOOR KHAN

“SOP ini seolah-olah dibuat dengan terburu-buru, kami ingin bertanya adakah kerajaan ada berbincang dengan persatuan peniaga atau pemilik industri makanan sebelum membuat SOP ini.

“Kita sendiri tahu sebelum ini fasa dua vaksin dilaksanakan melibatkan warga emas dan kita hanya memasuki fasa ketiga pada Julai, jadi memang ramai peniaga makanan masih belum lengkap divaksin,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Mohamed Rizwan, golongan penjaga makanan telah menderita kekurangan pendapatan sejak tiga bulan lalu akibat pelbagai sekatan yang dikenakan untuk mencegah wabak Covid-19.

“Peniaga bersedia untuk patuh dengan segala SOP pencegahan Covid-19, namun SOP terkini berkaitan ‘dine in’ perlu dinilai semula.

“Sekurang-kurangnya kerajaan benarkan semua peniaga makanan menawarkan khidmat dine-in kepada pelanggan yang telah lengkap divaksin,” katanya.

Selain itu kata beliau, pihaknya juga mahu kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin kepada golongan peniaga dan penjaja makanan bagi membantu mereka.

Dalam pada itu, seorang peniaga di sebuah medan selera di Jalan Gurney yang hanya mahu dikenali sebagai Chong berkata, dia masih belum menerima vaksin Covid-19 yang lengkap walaupun telah lama mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

“Saya tidak dapat tawarkan perkhidmatan dine in kepada pelanggan kerana belum divaksin, saya harap kami dapat diberikan vaksin Covid-19 dengan segera selepas ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN