SOP 'dine-in' mengelirukan pengusaha hotel - Utusan Malaysia

SOP ‘dine-in’ mengelirukan pengusaha hotel

PENGUSAHA hotel yang menawarkan perkhidmatan 'dine-in' di premis masing-masing kini keliru dengan SOP terkini berkaitan dengan aktiviti berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pengusaha-pengusaha hotel yang turut menawarkan perkhidmatan dine-in di premis masing-masing keliru dengan prosedur operasi standard (SOP) terkini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan dengan aktiviti berkenaan.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, K. Raj Kumar berkata, SOP yang diterima mereka semalam itu memaklumkan premis hanya boleh dibuka sekiranya pekerja di premis atau restoran telah divaksin lengkap.

K. RAJ KUMAR

Sedangkan menurut beliau, dalam pengumuman dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan  kebenaran untuk makan dan minum di restoran diberikan kepada individu yang lengkap vaksinasi bermula esok.

“Arahan KPDNHEP mengelirukan, tiba-tiba kena maklumkan pula berapa kakitangan yang telah divaksin, adakah ini hanya untuk makluman pelanggan?

“Atau adakah hanya premis yang pekerjanya sudah lengkap divaksin yang hanya boleh dibuka, kami semua keliru dengan perkara ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Raj Kumar, pada masa ini hanya 37.5 peratus atau 8.7 juta penduduk negara sudah lengkap menerima dua dos vaksin, malah pekerja industri perhotelan juga rata-ratanya telah menerima suntikan dos pertama vaksin mereka bulan ini.

“Pada awalnya kita gembira dengan kelonggaran diberikan kerajaan dan kita berharap restoran-restoran di hotel dapat dibuka semula untuk menjana pendapatan.

“Tetapi SOP yang mengelirukan dan tidak jelas ini menyebabkan kami sedih semula, kami harap kerajaan dapat berlaku adil kepada pekerja industri perhotelan kerana kami hanya berjaya mendapatkan vaksin pada bulan ini,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya dan MAH Malaysia telah berulang kali memohon kepada kerajaan untuk menyegerakan suntikan vaksin kepada pekerja industri perhotelan supaya mereka dapat bersedia untuk pembukaan semula operasi.

“Bukan semua pekerja hotel telah melengkapkan dos vaksin mereka, ada yang baharu sahaja mendapat suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca dan perlu menunggu sehingga sebulan lagi untuk dos kedua.

“Jika SOP yang mengelirukan ini diteruskan, memang siapa pun tidak dapat membuka perniagaan secara dine-in  dan kami harap kerajaan kaji semula perkara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya