Sijil digital vaksin palsu RM 15 - Utusan Malaysia

Sijil digital vaksin palsu RM 15

KAMARUL ZAMAN MAMAT KAMARUL ZAMAN MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Kedah menerima satu laporan polis mengenai penularan isu penjualan sijil digital vaksin palsu berharga RM15 di media sosial semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, laporan polis tersebut diterima pada pukul 9.44 malam.

Katanya, susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan sijil digital pengesahan individu telah lengkap disuntik vaksin Covid-19 dikesan mula dijual oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.

Ketua Jabatan Obstetriks dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, Datuk Dr. Mohd. Rushdan Mohd. Noor dalam perkongsiannya di Facebook memberitahu, sijil tersebut dijual pada harga RM15 yang memaparkan maklumat penerima sijil berkenaan termasuk gambar.

Kamarul Zaman memberitahu, setakat ini tiada laporan polis yang diterima berkaitan pemilikan atau penjualan sijil vaksin digital palsu.

“Kita ingin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati serta tidak mudah terpengaruh untuk memiliki sijil tersebut,” ujarnya.

Beliau pada masa sama menyeru kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes itu untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat di talian 04-7741275 atau MERS 999 atau Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Noorulazanni Muhammad Noor di talian 011-10318409.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN