KUALA NERANG: Semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang ingin menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai, Yan menyerahkannya kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, langkah tersebut dapat mengelakkan kesesakan di jalan-jalan kampung terlibat jalan yang sempit.
Menurutnya, keadaan jalan di kampung itu didapati semakin sesak berikutan pelbagai pihak memasuki kawasan kampung untuk menyampaikan bantuan masing-masing.
Katanya, kesemua barangan yang diserahkan kepada PKOB di Pejabat Daerah dan Tanah Yan akan diselaraskan termasuk penghantaran kepada penduduk terlibat.
“Kedah juga masih lagi berada di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Satu dan pihak-pihak terlibat perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan dalam Program Op Bantu dengan kerjasama TM di sini hari ini.
Seramai 200 keluarga miskin di daerah itu menerima sumbangan barangan keperluan .
Selain itu, seramai lima pesara polis pula menerima pingat Jasa Pahlawan Negara.
Kamarul Zaman memberitahu, pada masa ini, daerah Yan juga masih lagi berstatus Zon Merah bagi kawasan penularan wabak Covid-19.
“Kita bimbang kehadiran ramai sukarelawan di kawasan tragedi itu menimbulkan kluster baharu dan mengancam penduduk kampung terlibat,” ujarnya.
Beliau menambah, sukarelawan yang mahu mengadakan aktiviti gotong-royong membersih rumah, dewan atau masjid juga perlu menghubungi PKOB untuk kelancaran tugas-tugas tersebut.- UTUSAN ONLINE