KUANTAN: Walaupun sudah 29 hari melahirkan bayi kembar, namun ibunya belum berpeluang berjumpa dan memeluk anaknya kerana sedang menjalani kuarantin ekoran Covid-19 di rumah manakala bayi pula masih ditempatkan di Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Naluri keibuan Yeci Astari Zainuddin, 29, terus diuji apabila bayi kembarnya itu perlu turut menjalani ujian calitan kerana difahamkan terdapat bayi yang positif Covid-19 turut ditempatkan di NICU.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yeci Astari berkata, bayi kembar perempuannya iaitu Nuur Mikhayla Muhamad Khairul Anam dan Nuur Melissa dilahirkan pada 17 Julai lalu secara pembedahan (pramatang) pada usia kandungan 34 minggu.
“Sepatutnya bayi saya dibenarkan keluar hospital selepas kuningnya sudah tiada dan berat badan bertambah iaitu dalam tempoh dua minggu sahaja tetapi kini terpaksa dikuarantinkan pula.
“Sementara menunggu anak keluar, saya berpantang di rumah kakak, Ria Jinis, di Taman Shahzan, Indera Mahkota selepas dibenarkan pulang pada 22 Julai lalu,” katanya yang menetap di Taman Murni, Sungai Isap di sini semalam.
Yeci Astari berkata, selepas dua hari berpantang, abang iparnya, Muhamad Rusdan Razali, 37, pula disahkan positif Covid-19 dan meninggal dunia.
Bimbang turut dijangkiti, dia membuat ujian calitan di Terminal Sentral Kuantan (TSK) di sini pada 3 Ogos lalu dan keputusan ujiannya negatif manakala ujian calitan kedua dibuat pada 14 Ogos lalu dan masih menunggu keputusannya.
“Apabila saya menerima berita abang ipar positif Covid-19, saya jadi amat sedih kerana tidak menyangka keluarga terdekat dijangkiti virus itu sehingga membawa maut.
“Emosi saya kini benar-benar terganggu memikirkan anak di hospital dan dua anak lagi yang kontak rapat dan suami pula tiada di sisi,” katanya.
Suami Yeci Astari, Muhamad Khairul Anam Mohamad Zin, bekerja sebagai mandor di ladang kelapa sawit di Maran manakala dua lagi anaknya, Nuur Dhiya Malaika, 7, dan Muhammad Irsyad Fawaz, 3, menjalani kuarantin di rumah.
Menurutnya, bersalin ketika wabak pandemik adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan selamanya kerana sangat mencabar. -UTUSAN










