PASIR GUDANG: Kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas dalam usaha untuk membangunkan vaksin Covid-19 sendiri yang dilihat merupakan satu keperluan mendesak pada ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, sudah tiba masa Malaysia menghasilkan vaksin sendiri yang dijamin selamat, serasi dan sesuai untuk kegunaan rakyatnya.
“Jika kita berupaya membangunkan vaksin sendiri, secara tidak langsung akan turut menjimatkan kos import vaksin luar selain dapat meyakinkan rakyat untuk mengambil vaksin.
“Usaha ini juga akan menjamin bekalan vaksin yang cukup untuk keperluan negara selain ianya boleh dieksport jika berlebihan. Ini kerana kita tidak tahu sama ada bekalan vaksin import mencukupi atau tidak pada masa akan datang.
“Secara tidak langsung ini akan menjadi satu persediaan kepada Malaysia jika berlaku apa-apa terhadap bekalan vaksin dunia,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada petugas barisan hadapan di Kampung Orang Asli Kuala Masai di sini, hari ini.
Kampung tersebut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 25 Ogos lalu sehingga 8 September ini selepas lebih 200 masyarakat Orang Asli di sana positif Covid-19.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia boleh mengeluarkan vaksin sendiri seperti Thailand kerana Covid-19 akan menjadi endemik dan akan berada di persekitaran seperti denggi yang menyebabkan vaksin masih diperlukan.
Susulan itu, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang akan dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dilaporkan berkata, pihaknya yakin negara mempunyai kepakaran dan kemampuan menghasilkan vaksin sendiri.
Mengulas lanjut, Che Zakaria turut memberitahu, Malaysia boleh merujuk negara Asia seperti China, Thailand dan India yang telah menghasilkan vaksin sendiri atau untuk mendapat bimbingan negara lain yang sudah berjaya menghasilkannya.
“Hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok juga akan segera tercapai dengan adanya bekalan vaksin sendiri.
“Dalam pada itu, saya juga berharap semua inisiatif yang dilaksanakan untuk memerangi Covid-19 semasa kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat diteruskan.
“Ini kerana Muhyiddin dan Kabinet terdahulu telah membuat perancangan teliti yang bertanggungjawab dalam memerangi wabak tersebut dengan merangka pelan komprehensif jangka masa panjang,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE









