KOTA KINABALU: “Semasa menghampiri sempadan Sungai Nyamuk, Indonesia, kami ditembak. Saya nampak peluru macam air hujan di hadapan mata”.
Ketika itu, nyawa bagai di hujung tanduk kerana kedudukan mereka begitu hampir dengan pos kawalan tentera Indonesia.
Demikian pengalaman pesara polis, Mohd. Daud Kalakhan, 75, yang bertugas dalam pasukan Mobile Force Platun 5 semasa Konfrontasi Indonesia-Malaysia di Tawau pada 1963.
Pada masa itu, darurat diisytiharkan di Tawau kerana Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) sudah mula menceroboh masuk ke daerah tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Daud berkata, semasa kejadian di Sungai Nyamuk, pasukannya yang diketuai oleh ketua polis daerah sedang mengejar bot tentera Indonesia yang merampas peralatan dan barangan daripada sebuah bagang di perairan Pulau Sebatik, Tawau.
Kemudian, beliau bersama seorang rakan diarahkan turun ke paya apabila bot tidak dapat masuk kawasan cetek. Ketua pasukan mengarahkan mereka merampas semula bot yang membawa barangan dan peralatan menangkap ikan itu bagi memutuskan sumber makanan tentera Indonesia.
“Semasa kami mendekati bot tersebut, lumpur sudah sampai ke paras paha. Tentera Indonesia pula sudah melarikan diri masuk ke sempadan mereka.
“Pada masa itulah, tembakan mula dilepaskan bertubi-tubi, saya nampak peluru macam air hujan sahaja kerana terlalu banyak. Kami hanya bersembunyi di dalam paya untuk mengelak terkena tembakan. Kemudian, saya turut membalas tembakan sambil mengheret bot mereka menghampiri bot marin yang kami naiki.
“Kami bernasib baik kerana tidak terkena tembakan dan pasukan kami kemudian meninggalkan kawasan berkenaan sambil menunda bot tersebut sehingga ke Tawau,” katanya.
Ceritanya lagi, semasa ditugaskan di kawasan hutan di Mentadak Lama, Lahad Datu, pasukan Mobile Force Platun 5 turut bertempur dengan tentera Indonesia. Dalam pertempuran itu, tiada anggota polis yang cedera sebaliknya, dua tentera Indonesia tumpas dan selebihnya melarikan diri.
Itu antara peristiwa Mohd. Daud lalui sepanjang bertugas semasa konfrontasi Indonesia-Malaysia. Apabila Tunku Abdul Rahman mencapai persetujuan dengan Indonesia, barulah keadaan di Tawau menjadi reda.
Jika diimbau kembali, memang sukar untuk mencapai kemerdekaan. Pada usia 20 tahun, Mohd. Daud sudah meninggalkan keluarga dan bertempur dalam hutan mempertahankan keselamatan negara. Tidur di dalam hutan sambil memeluk senjata api sudah menjadi rutin semasa berkawal untuk mengintip pergerakan musuh.
Bercerita lanjut, antara peristiwa menyayat hati apabila dua rakan sepasukan yang ditugaskan melawan mundu atau lanun di Lahad Datu pada hujung tahun 1962 terbunuh dan anggota badan mereka dikerat. Tindakan mundu itu memang kejam.
Jelas beliau, kemerdekaan yang dikecapi perlu sentiasa dihargai kerana ia dicapai hasil perjuangan pasukan keselamatan terdahulu.
Justeru, pengorbanan anggota polis yang berjuang mempertahankan negara perlu dihargai dan diberi pengiktirafan sewajarnya. Ramai bekas anggota polis yang hidup serba kedaifan namun, tiada siapa mendengar rintihan hati mereka.
“Hargailah perjuangan kami yang berbakti kepada negara suatu ketika dahulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










