‘Saya ada masalah kepercayaan terhadap Presiden UMNO’ - KJ - Utusan Malaysia

‘Saya ada masalah kepercayaan terhadap Presiden UMNO’ – KJ

KHAIRY Jamaluddin (kanan) melawat ruang studio yang akan dijadikan PPV di Iskandar Studio Malaysia, Medini di Iskandar Puteri, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengakui sukar mempercayai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ekoran beberapa tindakan yang dilakukan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebelum ini.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, masalah kepercayaan itu berbangkit ekoran surat yang dihantar Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong pada Oktober tahun lalu.

Selain itu, katanya, persoalan juga timbul ekoran isu rakaman suara yang tular membabitkan Ahmad Zahid dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ketika ini saya masih lagi dalam kerajaan, sebab saya ada masalah kepercayaan terhadap Presiden UMNO. Pada bulan Oktober lepas, beliau telah mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong atas nama Presiden UMNO mengatakan semua Ahli parlimen UMNO memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Sedangkan saya tidak pernah dirujuk oleh Presiden, tidak pernah ditanya oleh Presiden dan jauh sekali saya beri kebenaran kepada beliau untuk guna nama saya, itu yang pertama.

“Kedua, apabila timbul rakaman perbualan Presiden dengan ketua pembangkang, perkara itu dinafikan, kata nak buat laporan polis tetapi selepas itu mengaku pula yang rakaman itu tulen.

“Bagaimana saya hendak percaya Presiden macam ini yang mengatakan bahawa keputusan baru ini dicapai secara sebulat suara dalam Majlis Tertinggi (MT), sedangkan ada Ahli Parlimen yang terdiri daripada Ahli MT buat keputusan berbeza dengan keputusan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas melawat tapak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Iskandar Malaysia Studios, di sini hari ini.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) turut merayu UMNO untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN) sehingga September untuk menentukan keabsahan kerajaan melalui usul percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“I cannot trust this Presiden, kita bersama (PN) sekarang ini dan kita akan buat pendirian pada sidang nanti.

“Saya masih dengan UMNO, setia pada UMNO, biarlah saya buat kerja vaksinasi kerana ini soal nyawa rakyat Malaysia. Selagi tidak ada undian, biarlah saya buat kerja juga bagi pihak UMNO kerana saya menteri UMNO.

“Nanti selepas kita sudah selesai undi boleh kita buat keputusan, what’s next,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya