KOTA KINABALU: Pembangunan Sabah dijangka akan menjadi lebih pesat dengan adanya bekalan elektrik yang lebih stabil menjelang 2023.
Ini susulan usaha Kerajaan Negeri Sabah mengimport 30 megawatt (MW) bagi tempoh 15 tahun melalui talian transmisi litar berkembar 275kV sepanjang 31km dari Lawas di Sarawak ke Mengalong di Sabah.
Bekalan itu dijangka mula dibekalkan bermula pada akhir tahun 2023 setelah pembesaran grid di bawah Agenda Bahagian Utara Sarawak Energy yang menghubungkan Miri dengan bandar-bandar di utara Limbang dan Lawas di Sarawak selesai.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangunan Sabah akan terus dipacu selaras dengan pelan pembangunan lima tahun, hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan pada awal tahun ini.
Beliau berkata, bekalan elektrik yang stabil penting bagi menjayakan agenda pembangunan SMJ yang berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.
“Bekalan elektrik yang lebih stabil akan meningkatkan pelaburan dari dalam dan luar negara dan menyokong pertumbuhan sektor perindustrian dan pengilangan secara hiliran (upstream) serta membuka peluang pekerjaan bagi sektor industri berat dan ringan.
“Malah, ia akan membantu meningkatkan tahap sosio-ekonomi masyarakat di kawasan luar bandar,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan anak syarikat Sarawak Energy Berhad (SEB) secara maya hari ini.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili yang mewakili Syarikat SESCO Berhad.
Hajiji berkata, perjanjian itu sesuai dengan visi SESB ingin menjadi sebuah syarikat tenaga yang efektif, berwibawa dan pemangkin kepada pembangunan negeri Sabah.
“Justeru, dalam persekitaran industri tenaga yang semakin mencabar dan harapan pengguna yang semakin tinggi untuk mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik, usaha-usaha seperti ini adalah sesuatu yang amat penting kepada SESB.
“Menerusi perjanjian ini, diharap hubungan antara Sabah dan Sarawak menjadi lebih erat dan lebih banyak kerjasama menyusul demi kebaikan dan faedah bersama,” katanya.
Majlis secara maya itu turut disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dari Wisma Bapa Malaysia Petra Jaya di Kuching.
Turut hadir menerusi Zoom ialah Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din; dan Pengerusi SEB, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi. – UTUSAN ONLINE










