Sabah benar walk-in vaksinasi di semua PPV - Utusan Malaysia

Sabah benar walk-in vaksinasi di semua PPV

MASIDI MANJUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan pemberian vaksin secara walk-in di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keputusan membenarkan semua rakyat termasuk bukan warganegara menerima vaksin secara walk-in itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 negeri Sabah semalam.

Beliau berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok di Sabah iaitu 60 peratus menjelang Oktober.

“Sejajar dengan itu, kerajaan negeri juga memutuskan untuk membeli vaksin Covid-19 sendiri bagi menampung kekurangan bekalan vaksin di Sabah.

“Kerajaan akan meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membeli vaksin bagi kakitangan mereka dan seterusnya untuk disumbangkan kepada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, kerajaan negeri melalui GLC bersedia membeli vaksin sekiranya terdapat kekurangan bekalan bagi memastikan semua penduduk memperoleh vaksin dengan kadar segera.

Perbelanjaan membeli vaksin ini akan ditolak daripada jumlah dividen tahunan yang lazim dibayar oleh GLC kepada kerajaan negeri setiap tahun.

Jurucakap Covid-19 Sabah ini berkata, kerajaan juga menggalakkan syarikat swasta seperti syarikat perladangan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membeli vaksin untuk pekerja masing-masing.

Menurut Masidi, 80 peratus pekerja ladang adalah warga asing dan usaha memberikan vaksin kepada pekerja ladang ini akan membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok dengan segera.

Tambah beliau, kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan untuk membenarkan ladang-ladang besar yang memberi vaksin kepada 100 peratus pekerja termasuk anggota keluarga untuk beroperasi semula dengan kapasiti penuh.

Ketika ini, 42 peratus penduduk Sabah sudah menerima satu dos vaksin dan sebanyak 18.1 peratus menerima dua dos vaksin yang lengkap. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya